MANCHESTER: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengesahkan Erling Haaland masih belum pasti dapat diturunkan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Liverpool awal pagi Isnin ini.
Penyerang sensasi Norway itu hanya berada di bangku simpanan ketika City tewas 1-3 kepada Real Madrid dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara, Khamis lalu, sekali gus tersingkir menerusi agregat 6-3.
Pembelian Omar Marmoush pada jendela perpindahan Januari sekurang-kurangnya memberi Guardiola pilihan sekiranya Haaland gagal pulih tepat pada masanya untuk menentang pendahulu liga, Liverpool.
Bagaimanapun, Guardiola tetap mengakui kepentingan Haaland dalam pasukannya selepas pemain itu meledak 27 gol musim ini.
“Lebih baik ada Erling di atas padang daripada tidak ada. Sudah tentu, dengan Erling, kami lebih kuat,” kata Haaland.
Dalam pada itu, persaingan antara City dan Liverpool di era Jurgen Klopp telah mencipta sejarah tersendiri dalam EPL dan Arne Slot, membuktikan keupayaannya apabila The Reds berada di landasan terbaik untuk menjulang kejuaraan liga pada musim pertamanya sebagai pengurus.
“Bagi saya, mereka adalah pasukan luar biasa. Saya sudah katakan berkali-kali, mereka adalah pesaing terbesar sepanjang saya berada di sini.
“Arsenal juga hebat dalam beberapa tahun terakhir, tetapi saya tidak terkejut melihat Liverpool berada di kedudukan mereka sekarang,” kata Guardiola. – AGENSI/UTUSAN










