Man City belanja besar beli Gonzalez  

Man City belanja besar beli Gonzalez  

NICo Gonzalez akan memperkuatkan jentera tengah Manchester City dalam baki saingan musim ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Manchester City membuat pembelian saat akhir dengan menandatangani Nico Gonzalez dari Porto yang juga perpindahan terbesar kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hari terakhir jendela perpindahan pemain.

Kehadiran Gonzalez adalah untuk mengatasi kelemahan jentera tengah selepas pemenang Ballon d’Or, Rodri terpaksa berehat panjang akibat kecederaan lutut serius dan ia terserlah ketika City tewas 1-5 kepada Arsenal.

Skuad kendalian Pep Guardiola kini berdepan cabaran untuk sekurang-kurangnya layak ke Liga Juara-Juara musim depan, dengan juara bertahan itu berada di tangga kelima EPL, 15 mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Memuatkan artikel berkaitan…

City juga memerlukan tambahan pemain bagi menghadapi pertembungan penting pada pusingan kalah mati Liga Juara-Juara menentang juara bertahan, Real Madrid, hujung bulan ini bagi amerebut slot pusingan 16.

Bekas pemain tengah Barcelona, Gonzalez, 23, tiba dengan yuran perpindahan yang dilaporkan bernilai 60 juta euro (RM277.4 juta) dan beliau merupakan pemain keempat yang dibawa masuk pada perpindahan Januari.

“Ia adalah peluang terbaik buat saya pada tahap karier sekarang. Saya tahu reputasi yang dimiliki Pep dan saya tidak sabar untuk bekerja dengannya. Malah, saya berasa bangga kerana dia mahukan saya dalam pasukannya,” kata Gonzalez.

City sudah pun membelanjakan lebih 120 juta pound (RM667.8 juta) dalam jendela perpindahan Januari, termasuk membawa masuk penyerang Mesir, Omar Marmoush, serta dua pertahanan muda, Vitor Reis dan Abdukodir Khusanov.

Dalam perkembangan lain di EPL, Tottenham berjaya mendapatkan Mathys Tel dari Bayern Munich secara pinjaman bagi menyelamatkan musim tidak menentu skuad kendalian  Ange Postecoglou.

Tel sebelum ini dilaporkan menolak peluang untuk menyertai Spurs selepas perjanjian bernilai 50 juta pound (RM278.2 juta) dipersetujui dengan kelab gergasi Jerman itu.

Namun, pemain antarabangsa bawah 21 tahun Perancis itu akhirnya berpindah ke utara London secara pinjaman hingga akhir musim, dengan pilihan untuk menjadikannya perpindahan tetap pada musim panas nanti.- AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×