MAHF mahu jumpa Norza selesai ‘hutang lama’

MAHF mahu jumpa Norza selesai ‘hutang lama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) akan mengaturkan pertemuan dengan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria untuk menyelesaikan kemelut yang melanda persatuan itu.

Presiden MAHF, Datuk Pandak Ahmad berkata, pihaknya ketika ini berdepan kemelut ‘hutang lama’ yang dibuat kepimpinan terdahulu ketika menghantar skuad bola baling negara menyertai Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.

Pandak juga mengesahkan, hutang sebanyak RM133,000 masih belum dibayar kerana kerana beranggapan kenapa pihaknya perlu menanggung bebanan hutang yang dibuat kepimpinan terdahulu sehingga pembangunan bola baling disekat.

“Sebelum ini kita ada cuba aturkan pertemuan dengan Norza tetapi tertangguh dan dalam masa terdekat ini, MAHF akan mengaturkan pertemuan baharu untuk menyelesaikan segala kemelut yang melanda.

“Hutang berkenaan dibuat oleh orang lain (kepimpinan terdahulu MAHF), jadi kenapa kita perlu bayar semua?. Jadi, sehingga kini jumlah hutang masih sama (RM133,000) dan kita mahu berjumpa dengan Norza untuk bincangkan perkara ini.

“Situasi ini jelas merugikan pembangunan bola baling yang kini mula menunjukkan peningkatan termasuk meraih emas di Temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Indonesia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 2021, Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Mohd Najib mengumumkan MAHF dibuang sebagai ahli gabungan MOM selepas didapati gagal menyelesaikan hutang tertunggak sejak menyertai Sukan Asia di Jakarta, Indonesia yang berjumlah RM133,000.

Situasi itu merugikan pembangunan bola baling di Malaysia apabila pasukan negara tidak diberikan kelulusan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk beraksi di Southeast Asia Indoor And Beach Handball Championship 2025 di Suphanburi Sports University, Thailand.

Sebelum ini, MAHF telah menghantar kertas kerja kepada MSN untuk mendapatkan sebahagian peruntukan bagi menampung perbelanjaan pasukan yang mencapai jumlah RM110,000.00 untuk kejohanan yang berlangsung selama tujuh hari itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN