LIVERPOOL: Liverpool bangkit daripada defisit gol untuk mara ke final Piala Liga Inggeris selepas membenam Tottenham 4-0 di sini pagi ini, sekali gus menambah lagi tekanan terhadap Ange Postecoglou.
Dalam aksi tersebut Cody Gakpo, Mohamed Salah, Dominik Szoboszlai dan Virgil van Dijk masing-masing menjaringkan gol untuk melengkapkan kemenangan agregat 4-1 dan akan menentang Newcastle United di Wembley pada 16 Mac ini.
Liverpool kini dalam prestasi terbaik untuk mencipta empat gelaran di bawah bimbingan Arne Slot.
The Reds juga selesa dengan kelebihan enam mata di punca Liga Perdana Inggeris (EPL), layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara dan akan menentang pasukan liga kejuaraan, Plymouth dalam pusingan keempat Piala FA pada Ahad ini.
Biarpun tewas, Postecoglou bagaimanapun masih mempunyai satu lagi peluang untuk mengotakan janjinya untuk memenangi satu trofi dalam musim keduanya bersama Spurs apabila menentang Aston Villa dalam saingan Piala FA pada Isnin ini.
Pun begitu, wujud spekulasi jurulatih dari Australia itu mungkin ditunjukkan jalan keluar jika Spurs tewas kepada Villa sementelah kedudukan pasukan itu juga berada di tangga 14 liga. – AFP/UTUSAN










