MANCHESTER: Liverpool tidak boleh terlalu selesa biarpun berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan 11 mata berbanding pencabar terdekat, Arsenal.
Pengurus Liverpool, Arne Slot berkata, sebarang kemunginan boleh berlaku kerana EPL mempunyai kualiti tinggi selain Arsenal juga beraksi kurang satu perlawanan ketika ini.
Dalam aksi EPL semalam, The Reds melakar kemenangan pertama mereka dalam liga di Stadium Etihad bagi tempoh sedekad selepas menumpaskan Manchester City 2-0.
City mendominasi bola sepak Inggeris di bawah kendalian Pep Guardiola, termasuk catatan tidak pernah dilakukan empat kejuaraan berturut-turut dalam empat musim terakhir.
Bagaimanapun, mereka merudum musim ini dan kini ketinggalan 20 mata di belakang Liverpool di tangga keempat selain turut tersingkir alam aingan Liga Juara-Juara.
“Jika anda bermain di Etihad, jika anda menang di sana, ia sering kali menjadi satu kemenangan besar, tidak kira di mana posisi anda dalam kedudukan liga,” kata Slot.
Penyokong Liverpool yang bertandang ke Etihad menyanyikan ‘kami akan memenangi liga’ ketika City hilang idea untuk bangkit selepas jaringan Mohamed Salah dan Dominik Szoboszlai pada babak pertama.
Slot tetap berhati-hati selepas mengalami penyingkiran mengejut dalam Piala FA di tangan kelab divisyen dua Plymouth Argyle awal bulan ini selain bergelut menewaskan Wolves 2-1 hujung minggu lalu.
“Peminat boleh nyanyikan apa yang mereka mahukan, saya fikir mereka sudah menyanyikannya agak lama juga. Tetapi kami tahu betapa sukarnya kami untuk mencipta setiap kemenangan.
“Dalam setiap liga, mendahului sebegini menyaksikan anda berasa amat selesa, kecuali liga ini kerana setiap perlawanan memberikan anda banyak cabaran. Malah Plymouth Argyle memberikan kami banyak cabaran,” kata Slot. – AGENSI/UTUSAN











