PETALING JAYA: Kehadiran puluhan ribu penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim ketika memberi sokongan kepada skuad Harimau Selatan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia berdepan Terengganu membuktikan bahawa saingan Liga Malaysia (Liga M) masih ‘bernyawa’.
Pada aksi separuh akhir itu, lebih 23,000 penyokong setia Harimau Selatan menjadi saksi kepada kejayaan JDT mengesahkan tiket ke final Piala Malaysia buat kali kelima berturut-turut.
Kehadiran memberangsangkan penyokong itu jelas menggembirakan pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail yang menzahirkan penghargaan beliau menerusi satu hantaran di laman X.
“It’s still alive (bola sepak masih hidup). Terima kasih kepada 23 ribu yang hadir pada hari ini. Alhamdulillah another (satu lagi) final,” kata Tunku Mahkota Ismail.
Terdahulu, ramai pihak berpendapat bahawa kancah bola sepak tempatan semakin suram ekoran kehadiran penyokong ke stadium yang kian merosot terutama penurunan drastik pada aksi minggu ke-19 yang menyaksikan tidak sampai 10,000 peminat di kelima-lima venue perlawanan.
Liga M juga dilihat semakin tidak kompetitif dan ditambah terdapat pasukan yang terlalu dominan menyebabkan kualiti liga itu semakin suram sehingga membuatkan peminat bosan dan membuat keputusan untuk tidak hadir ke stadium.
Selain itu, peminat juga berpendapat prestasi pasukan kurang meyakinkan dan sering terpalit dengan isu kewangan selain penyusunan jadual perlawanan oleh MFL membuatkan peminat ‘muak’ dengan drama kitar semula berlaku setiap tahun. – UTUSAN











