PETALING JAYA: Peletakan jawatan pengarah teknikal terjun Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Bryan Nickson Lomas mencetuskan tanda tanya negara manakah yang akan menjadi destinasi beliau untuk meneruskan legasinya sebagai jurulatih.
Bekas penerjun negara itu dibawa masuk oleh badan induk berkenaan pada Oktober 2023 dengan tanggungjawab yang besar memulihkan prestasi skuad terjun negara yang turun naik.
Difahamkan, beberapa buah negara antaranya Korea Selatan, Jepun dan China cuba memikat minat beliau Disember lalu dan dia telah memilih salah satu daripadanya, namun merahsiakannya.
Namun, Bryan enggan mendedahkan negara mana yang bakal beliau kemudi, sebaliknya meminta sedikit masa untuk menyelesaikan beberapa urusan.
“Saya menerima tawaran untuk menjadi jurulatih di luar Disember lalu. Saya mahu mencabar diri dengan pengalaman baharu.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan negara mana yang saya akan tuju sehingga segala proses selesai,” kata Bryan.
Peletakan jawatan jurulatih berusia 35 tahun itu seiring dengan bekas penerjun negara, Wendy Ng yang memulakan tugasnya di Akuatik Singapura bulan lalu sebagai jurulatih pembangunan bakat.
Bryan berkata, jurulatih tempatan yang berkelana di luar negara bukan kerana wang semata-matanya, sebaliknya ilmu pengalaman untuk membangunkan atlet negara.
“Saya rasa ini perkara normal. Sememangnya ini kitaran biasa dalam sukan dan tidak ada perkara yang aneh di situ.
“Jurulatih kita pergi ke luar negara untuk menimba pengalaman dan pada masa yang sama kita pun mengambil pengendali asing untuk membantu pembangunan atlet kita,” ujarnya. – UTUSAN










