Jurang beregu wanita terlalu besar 

Jurang beregu wanita terlalu besar 

Pearly Tan dan M Thinaah masih menjadi beregu utama ke mana-mana kejohanan badminton. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak berdepan cabaran getir dalam usaha membangunkan skuad pelapis yang semakin jauh ketinggalan berbanding gandingan utama, Pearly Tan-M. Thinaah.

Lebih membimbangkan, bukan sahaja beregu pelapis negara gagal menyaingi pasangan No. 5 dunia itu, malah mereka juga tidak setanding dengan barisan pemain simpanan negara pesaing yang berada di ranking lebih rendah.

Keadaan ini jelas terbukti apabila beregu kedua negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, tidak mampu memberi saingan kepada pasangan Indonesia, Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Rose yang hanya menghuni kedudukan No. 60 dunia dalam saingan Kejohanan Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Qingdao, China, minggu lalu.

“Inilah realiti beregu wanita kita. Jurang dengan Pearly-Thinaah masih terlalu besar.

“Mereka bukan sahaja ketinggalan, malah tahap mereka jauh di belakang jika dibandingkan dengan beregu pelapis negara pesaing,” kata Rosman.

Bagi mencari solusi, Rosman mula mencuba kombinasi baharu termasuk menyenaraikan Cheng Su Hui-Tan Zhing Yi ke kejohanan BAMTC dan Cabaran Antarabangsa Sri Lanka dari 25 Februari hingga 2 Mac bagi menguji kebolehan mereka di pentas antarabangsa.

Menurutnya, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mahukan barisan pemain ini segera merapatkan jurang dengan Pearly-Thinaah, sekali gus memastikan Malaysia kekal bersaing di peringkat tertinggi.

“Saya sedang mencari beregu kedua dan ketiga, dan akan menguji beberapa gandingan di kejohanan di Singapura dan Sri Lanka.

“Saya akan terus menguji untuk melihat potensi mereka, tetapi berdasarkan tahap semasa, mereka memerlukan lebih banyak masa untuk menunjukkan kemajuan,” katanya.

Rosman turut percaya pasangan muda seperti Carmen Ting-Ong Xin Yee serta naib juara Remaja Dunia 2025, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi memiliki potensi besar untuk menjadi gandingan berkualiti dan menggalas cabaran negara dalam beberapa tahun akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN