Memuatkan artikel berkaitan…
JAKARTA: Jordi Cruyff menyertai pasukan bola sepak Indonesia bagi membantu Patrick Kluivert merealisasikan hasrat negara itu untuk layak ke Piala Dunia.
Bekas pemain dan pengarah sukan Barcelona itu yang juga anak kepada legenda bola sepak dunia, Johan Cruyff dilantik sebagai penasihat teknikal untuk FA Indonesia.
Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) sebelum ini melantik Kluivert yang juga bekas pemain Belanda dan Barcelona sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan negara itu.
Indonesia kini bertarung dalam pusingan ketiga kelayakan bagi zon Asia untuk Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Utara dan sebelum ini telahpun mengorak langkah awal membawa masuk beberapa pemain berdarah warisan Belanda-Indonesia untuk menyarung jersi pasukan.
Cruyff, 51, yang juga pernah beraksi bersama Manchester United dipilih berdasarkan pengalamannya yang memimpin beberapa pasukan antaranya Maccabi Tel Aviv dan Shenzhen FC di China.
“Pengalamannya selaku pemain dan jurulatih merupakan perkara penting untuk membina masa depan bola sepak Indonesia,” kata Pengerusi PSSI, Erick Thohir. – AFP/UTUSAN











