CERITAKU
SUKAN bukan sahaja mengubah hidup jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly malah ia turut menjadikan dirinya lebih dihormati dan disegani masyarakat.
Kenakalan ketika usia remaja telah membuatkan Latif tidak termimpi menjalani kehidupannya pada hari ini apatah dengan status dan penghormatan yang diterimanya sebagai atlet negara.
Pada usia remajanya, Latif mengakui dia lebih gemar menghabiskan masanya dengan menunggang motosikal bersiar-siar di kampung halamannya tanpa memikirkan masa hadapan.
Bagaimanapun, kata Latif dia amat berterima kasih kepada dua cikgu ketika di bangku sekolah yang dapat menghidu bakatnya sehingga menjadikan dirinya atlet ternama di negara ini.
Latif aktif bersukan semasa di alam persekolahannya, malah menceburi banyak sukan sebelum membuat keputusan untuk fokus kepada bakat yang dimilikinya dalam acara lompat jauh.
“Dulu ketika masih bersekolah, saya melibatkan diri dalam pelbagai jenis sukan antaranya lumba lari 100 meter (m), bola sepak, lompat tinggi, lompat jauh dan macam-macam lagi.
“Tetapi, sewaktu berada di tingkatan tiga, saya ingat lagi, waktu itu Cikgu Aznan (Mat Isa) dan Cikgu Sanusi yang mengenal pasti bakat saya dan mereka meminta saya untuk fokus kepada lompat jauh sahaja.
“Mungkin faktor saiz dan kekuatan telah membuatkan mereka mencadangkan saya untuk fokus kepada lompat jauh sahaja.
“Sejak itu, banyak waktu saya diperuntukkan untuk berlatih bagi memantapkan diri saya untuk menjadi atlet lompat jauh. Saya tidak menafikan, bahawa sukan telah mengubah hidup saya sehingga ke tahap ini.
“Kalau bukan atlet, saya fikir mungkin saya sudah menjadi ‘mat rempit’, budak yang tidak memikirkan masa hadapan sebab saya setiap hari keluar melepak, tengok perlumbaan (haram) di kampung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Latif turut mengakui sukan bukan sahaja mengubah status sosialnya dalam masyarakat tetapi cara pemikirannya serta keperibadiannya untuk menjadi seseorang yang lebih berdisiplin dan berwibawa.
“Saya akui, sukan telah mengubah hidup saya sepenuhnya, pemikiran saya juga berbeza kerana saya sudah mempunyai arah yang perlu dituju.
“Disebabkan saya menjadikan sukan sebagai kerjaya, saya lebih berdisiplin, komited dalam mempelajari sesuatu dan lebih berdikari,” katanya.
Selepas mengabdikan dirinya kepada sukan, Latif akui berasa gembira apabila dapat membantu keluarganya untuk mendapatkan taraf kehidupan yang lebih baik berbanding sebelum bergelar atlet elit negara.
“Masa mula-mula saya menceburi bidang ini, saya nak buktikan yang saya boleh berjaya dan saya memang berniat untuk membantu keluarga saya yang susah. Pemikiran saya untuk bantu keluarga terutamanya ibu bapa saya,” katanya. – UTUSAN










