Herry perlu masa bentuk Aaron-Khai Xing 

Herry perlu masa bentuk Aaron-Khai Xing 

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi memerlukan masa secukupnya untuk membentuk prestasi juara remaja dunia 2024, Aaron Tai-Kang Khai Xing. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi memaklumkan bahawa beliau memerlukan masa yang secukupnya untuk membentuk prestasi juara remaja dunia 2024, Aaron Tai-Kang Khai Xing. 

Menurut jurulatih dari Indonesia itu, beliau mendapati pasangan muda ini mempunyai kualiti permainan yang diperlukan biarpun tersingkir pada aksi pusingan kedua di Thailand Masters 2025, baru-baru ini.

“Mereka (Aaron-Khai Xing) ini masih muda. Perkembangan bakat mereka sangat memberangsangkan.

“Bagaimanapun, kita juga perlu lihat bagaimana mereka ini akan berkembang pada masa hadapan,” kata Herry kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.

Khamis lalu, pasangan No. 58 dunia ini tewas kepada beregu Indonesia, Shohibul Fitri-Daniel Marthin,  21-19, 16-21, 14-21 pada kejohanan berstatus Super 300 berkenaan di Stadium Nimibutr, Bangkok.

Dalam pada itu, bekas jurulatih Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) itu enggan membuat ramalan mengenai masa depan Aaron-Khai Xing, sebaliknya menyatakan hanya masa yang akan menentukan sama ada mereka akan terus bergandingan.

“Pendapat saya, sekiranya kurang baik, kita akan tukar (pasangan), namun buat sementara waktu ini saya belum terfikir untuk menukar pasangan.

“Berkemungkinan di sesi latihan sama (prestasi), namun di kejohanan tidak sama. Jadi saya lebih banyak lihat di kejohanan nanti,” katanya.

Herry yang diberi julukan Naga Api itu membawa reputasi besarnya ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas membimbing bekas juara dunia Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan serta membawa Kevin Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon di badan induk Indonesia berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN