Biarlah wanita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan lelaki

Biarlah wanita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan lelaki

WALAU apa pun andaian dan harapan setiap individu, wanita bukan lagi dianggap sebagai ‘penghuni tetap’ di ceruk dapur semata-mata tetapi semakin menjadi tonggak penting dalam pembangunan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMUM mengetahui topi yang dipakai wanita mungkin bersamaan dengan atau lebih daripada jumlah ‘topi’ pemikiran yang dicadangkan oleh De Bono dalam bukunya Six Thinking Hats.

Mereka adalah tutor peribadi, guru disiplin, pemandu, tukang cuci baju, jururawat, kaunselor, tukang masak dan seribu satu lagi peranan yang seakan tiada noktah.

Bayangkan dalam masa sama, wanita juga merupakan pekerja, pengurus atau pemimpin organisasi. Tentunya, urusan demi urusan dan kesibukan demi kesibukan menyebabkan golongan ini terdedah kepada bahaya tekanan. Tidak hairanlah wanita merupakan golongan yang kerap mengalami tekanan berbanding lelaki.

Masyarakat secara umumnya sering beranggapan hidup seorang wanita atau suri rumah sepenuh masa sangat ringkas, mudah, banyak masa lapang, tiada kerja untuk dibuat dan tidak mungkin mengalami tekanan.

Tanggapan ini sama sekali tidak benar! Ini kerana suri rumah tetap bekerja meskipun tidak menerima pakej pampasan dan faedah seperti sumber manusia di organisasi lain. Sebagai contoh, mereka tidak diberi cuti tahunan dan mempunyai jadual waktu kerja yang tidak terhad seperti pekerja pejabat.

Pendek kata, mereka bekerja setiap hari selama setahun, sama seperti operasi restoran makanan segera. Walaupun hanya berperanan di rumah, tanggungjawab seorang suri rumah sememangnya sangat berat.

Onak dan durinya hanya mereka yang bergelar suri rumah sahaja yang tahu. Mereka ini adalah lilin yang sanggup membakar diri demi menerangi orang lain. Oleh kerana suri rumah sepenuh masa juga merupakan suatu pekerjaan, ia tidak dapat menghindar penjawatnya mengalami tekanan seperti pekerja yang lain.

Sesuatu yang ironi tentang wanita atau suri rumah sepenuh masa yang ditanggap sebagai punya waktu lapang yang banyak adalah semua waktu itu bukan untuk dirinya. Hampir kesemua masanya diperuntukkan untuk keluarga, anak-anak, suami dan urusan rumah tangga.

Suri rumah juga mengalami masalah sama seperti rakan mereka yang dalam masa sama bekerja sepenuh masa. Pastinya cabaran lebih ketara dialami suri rumah yang bekerja sepenuh masa. Mengurus rumah tangga dan kerjaya dalam satu masa tentunya mencetuskan tekanan dalam kalangan mereka.

SILING KACA

Dalam konteks pengurusan dan kepimpinan organisasi, istilah ‘siling kaca’ cukup membuatkan perasaan tekanan semakin menjadi-jadi dalam kalangan wanita.

Siling kaca dalam kalangan wanita bekerjaya cukup sinonim. Ia dijadikan metafora bagi menerangkan masalah yang menghalang kemajuan dan peningkatan wanita daripada mencapai jawatan kepimpinan utama atau peringkat pembuat dasar. Kajian dalam psikologi organisasi dan industri menunjukkan istilah itu masih wujud. Ia merupakan rintangan yang tidak dapat dilihat atau dijangka menghalang peningkatan wanita untuk berada pada kedudukan lebih tinggi.

Ada sesetengah pihak beranggapan metafora siling kaca sudah tidak lagi relevan pada masa kini kerana wanita di Malaysia umumnya berjaya meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran pekerjaan. Walau bagaimanapun Statistik Buruh Antarabangsa 2022 menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita dalam kalangan 10 negara ASEAN mencatatkan Malaysia berada di kedudukan ke lapan.

Laos, Kemboja dan Vietnam yang agak sedikit terkebelakang dari segi pembangunan pendidikan mempunyai penyertaan tenaga kerja wanita yang lebih tinggi berbanding Malaysia. Realiti menunjukkan statistik bilangan wanita di sekolah dan institusi pengajian tinggi semakin meningkat serta pencapaian mereka amat cemerlang. Walau bagaimanapun apabila mula memasuki alam pekerjaan mahu atau tidak mereka perlu mengakui kewujudan siling kaca dalam hierarki tertentu dalam organisasi.

Persoalannya, berjayakah wanita menangani cabaran siling kaca yang menjadi penghalang kemajuan kerjaya mereka? Realiti menunjukkan segelintir kecil mereka berjaya menangani cabaran tersebut namun peratusannya masih jauh kebelakang. Jika berjaya pun, pastinya banyak cabaran dan rintangan di hadapan yang akan dihadapi golongan wanita.

Cabaran dan masalah sebenar dalam kehidupan bermula selepas seseorang itu mencapai peringkat tertinggi dalam organisasi. Tanggungjawab besar yang perlu dilalui seseorang wanita dalam kehidupan turut mempengaruhi pencapaian mereka mencapai kemuncak tertinggi dalam kerjaya.

Walaupun wanita di Malaysia berjaya meningkatkan penyertaan dalam pasaran pekerjaan, pembabitan golongan ini di peringkat pembuatan keputusan masih dianggap rendah sama ada di sektor awam atau sektor korporat. Ini kerana hanya segelintir kecil wanita yang bergelar pengerusi syarikat, ketua pegawai eksekutif (CEO) mahupun pelbagai lagi jawatan tertinggi di sektor awam dan korporat.

Meskipun wanita mempunyai laluan dan syarat kenaikan pangkat yang sama seperti lelaki, namun mereka tidak boleh melepasi tahap yang lebih tinggi dalam kerjaya. Wanita di Malaysia hanya lebih menonjol di peringkat pengurusan pertengahan walaupun kebiasaannya di belakang seorang CEO biasanya ada seorang wanita yang bekerja keras dan menunjukkan keupayaan yang luar biasa.

Sihatkah cabaran siling kaca yang membelenggu perkembangan kerjaya golongan wanita? Dari perspektif teori pembangunan bakat dan pengurusan sumber manusia, situasi tidak sihat dan sepatutnya tidak berlaku. Bakat serta kelayakan yang ada seharusnya digilap sama rata dan mereka juga sepatutnya berpeluang menerajui jawatan utama dalam organisasi.

Walau apa pun andaian dan harapan setiap individu, wanita bukan lagi dianggap sebagai ‘penghuni tetap’ di ceruk dapur semata-mata tetapi semakin menjadi tonggak penting dalam pembangunan negara. Tanggungjawab yang dipamerkan sebagai ibu, isteri, pemimpin pekerja dan suri rumah cukup menginsafkan sesiapa jua yang mengenali erti pengorbanan.

Doa seorang ibu tiada hijab selain amat mustajab sehingga digambarkan di dalam kisah legenda rakyat seperti Si Tanggang, Malim Kundang dan Nakhoda Manis. Kredibiliti mereka tidak lagi boleh dipandang enteng kerana kini boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan lelaki. Bangkitlah lelaki dan wanita serta wujudkan persaingan sihat dalam menelusuri kehidupan serta kerjaya masing-masing.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×