Barisan saf baharu FAM ada KPI 

Barisan saf baharu FAM ada KPI 

Mohd Joehari Mohd Ayub (tiga dari kiri) barisan kepemimpinan baharu pada Kongres Tahunan FAM ke-61. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan diberikan petunjuk prestasi Utama (KPI) untuk memastikan badan induk itu mencapai standard yang diinginkan.

Presiden baharu FAM, Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub berkata, penetapan KPI penting untuk memastikan setiap agenda badan induk itu berjalan seperti dirancang dan mencapai objektif.

“KPI akan sentiasa dipantau dan diperhalusi. Matlamat kita adalah untuk mencapai standard tertinggi dalam semua aspek, dari pembangunan pemain hingga ke pengurusan liga.

“Pastinya ada KPI yang akan diletakkan kepada semua mereka, tetapi masih terlalu awal untuk kita cakap. Saya akan bertemu dengan mereka dan susun segala perancangan,” katanya.

Dalam Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 kelmarin, Joehari berjaya menang tanpa bertanding untuk jawatan sebagai Presiden menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd. Amin.

Sementara itu, Joehari mengakui tugas sukar menantinya selepas mengambil alih legasi Hamidin, namun beliau bertekad memastikan kesinambungan serta penambahbaikan FAM.

“Saya mengambil alih tugas ini daripada seorang presiden yang mempunyai pencapaian amat tinggi. Saya bersama dua timbalan saya dan barisan Exco akan memastikan bola sepak Malaysia terus berkembang ke tahap yang lebih baik.”

Beliau pada masa sama turut menekankan kepentingan kestabilan dalam kepimpinan, yang mana pelan pembangunan yang telah dirancang sebelum ini akan dikaji semula bagi memastikan keberkesanan.

“Program F:30 adalah sesuatu yang telah dilakukan dan kita tidak boleh mengetepikannya begitu sahaja. Namun, kita juga perlu melihat kepada perspektif baharu dan menyesuaikan program mengikut keperluan semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN