Utamakan entiti Melayu-Islam dalam mempromosi negara

Utamakan entiti Melayu-Islam dalam mempromosi negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERBAHARU muncul satu lagi kejadian yang bukan sahaja tidak sensitif langsung kepada entiti Melayu-Islam di negara ini yang merupakan bumi bagi kaum dan agama itu, juga sangat menghina di tanah watannya sendiri.

Ia berkaitan tayangan video pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026. Video itu didapati tidak mengangkat entiti Melayu-Islam apabila hanya menayangkan gereja serta kuil dan tiada masjid, yang boleh dikaitkan dengan soal keagamaan di negara ini. Sudah tentu hal ini tidak patut sesekali berlaku. Ini kerana Islam adalah agama utama di Malaysia atas nama agama persekutuan.

Sehubungan ini, pihak terlibat seharusnya lebih bijak untuk pertama-tamanya bukan sahaja memasukkan masjid, juga mendahulukannya secara signifikan dari segenap sisi. Antaranya bukan sahaja hanya sebuah masjid, malah sebilangan dan pada tempoh tayangan yang lebih panjang.
Walaupun tayangan gereja dan kuil itu boleh dihujahkan sebagai lebih menjurus kepada fakta sejarah dan budaya, ia sewajarnya wajib dilakukan dengan sangat berhati-hati. Ini amat penting agar tidak sesekali menyinggung perasaan etnik Melayu-Islam sebagai kelompok asal negara ini.

Dengan tiada langsung penampilan masjid atau apa-apa jua unsur Melayu-Islam lain pada segmen itu, ia bukan sahaja kesilapan besar, malah ia satu penghinaan terbuka yang pasti akan mendapat tindak balas agresif daripada etnik Melayu-Islam.

Dalam hal ini, video itu seharusnya didahului dengan tayangan masjid, kemudian diikuti dengan tayangan gereja dan kuil. Ini wajar untuk apa-apa jua tujuan, baik atas faktor sejarah kewujudan gereja itu atau fakta kebudayaan tentang kuil berkenaan, selain hakikat keagamaan untuk apa-apa jua tempat ibadah.

Sesungguhnya tindakan sedemikian ada kaitan rapat dengan kepintaran praktikal yang didapati langsung tiada dalam kejadian ini. Ia adalah kecekapan berfikir yang bersifat naluri, tanpa perlu adanya sebarang pengetahuan khusus tentang sesuatu itu, untuk kemudiannya bertindak secara pintar.

Namun dengan berlakunya kejadian sebegini dan secara berterusan pula, yakni satu lepas satu dalam waktu singkat dan oleh pihak sama, ia antaranya memberi tanggapan adanya unsur kejahilan yang amat bebal pada pihak itu. Ia juga di salah anggap sebagai memang disengajakan.

Sepatutnya setelah sekian lama kita semua tinggal bersama-sama di bumi Melayu-Islam ini, tiada sebarang sensitiviti seperti ini yang sepatutnya timbul lagi. Ini kerana integrasi kelompok bukan asal ke dalam struktur sosial kelompok asal yang wajib dilalui itu, sudah pun boleh memberi kefahaman mencukupi untuk etnik bukan Melayu-Islam mempunyai kepintaran praktikal ini.

Ini amat penting untuk mereka bertindak dengan penuh kesedaran, apresiasi selain kepintaran, bukan sahaja untuk diri mereka sendiri agar dianggap tidak jahil. Jauh lebih penting adalah juga untuk menjaga keharmonian yang sangat diperlukan untuk perpaduan negara.

Malangnya setelah hampir tujuh dasawarsa pembinaan negara bangsa, antaranya untuk melahirkan warganegara yang terikat dengan negara ini, ia bukan sahaja tiada. Ia juga mahu dipertikai keperluan, malah kemestian bagi pertama-tamanya mengangkat entiti Melayu-Islam.

Sehubungan ini, entiti Melayu-Islam wajib lebih terserlah selain wajib diangkat pada kesempatan pertama lagi. Ia wajib sedemikian kerana merupakan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat di bumi Melayu-Islam ini, sebelum boleh diikuti oleh yang lain-lain.

Jawapan daripada pihak terbabit bahawa masjid akan ditayangkan pada video lebih panjang kemudian. Walau sekali pun benar namun tetap tidak dapat mengelak daripada dianggap sebagai hanya tindakan yang mahu diambil setelah dikecam kuat.

Dengan kata lain, ia hanya mahu dimasukkan masjid selepas ketiadaannya dikritik keras dan dengan agresif sekali.

Selain ini, jawapan itu juga akan dipalitkan dengan kejahilan pihak terbabit, waima selaku agensi kerajaan. Sepatutnya mereka sensitif dalam hal sebegini penting, lebih-lebih lagi yang berkenaan dengan agama paling utama di negara ini.

Seperkara penting dalam kejadian begini ialah mengapakah rakyat bukan asal, termasuk pemimpin mereka masih tidak faham-faham lagi akan pentingnya sensitiviti terhadap entiti Melayu-Islam. Ini tidak sepatutnya berlaku setelah sekian lama hidup di negara Melayu-Islam ini.

KEINSANAN
Sehubungan ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa ada keperluan yang sangat mendesak untuk diteliti semula proses pembentukan negara bangsa kita. Ini kerana ia didapati tidak sejaya yang berlaku di negara lain, khususnya dalam menasionalkan etnik bukan asal.

Dengan berlakunya kejadian tidak sensitif ini yang sangat kerap, tidak keterlaluan dikatakan bahawa kita semua yang berlainan etnisiti sebagai rakyat Malaysia, tidak pun berkongsi keinsanan Malaysia yang sama.

Dengan ini, kita bukan pun berupa komuniti insan senegara. Ini bermakna tidak adanya kesatuan rakyat dalam satu negara yang sama di mana semua etnisiti betul-betul berkongsi aspirasi sama, waima yang sangat berkenaan dengan negara yang sama-sama diakui sebagai tanah air.

Keinsanan Malaysia yang sama bukan sahaja sangat penting untuk perpaduan negara. Juga ia mustahak untuk kemajuan negara. Ini kerana kita perlu ada kerukunan, yakni sifat saling menyokong antara satu sama lain. Bukan yang sebaliknya, iaitu curiga-mencurigai sesama kita yang berlainan etnisiti.

Tidak dapat dinafikan pencapahan antara kita semakin parah saban hari sehingga dititahkan Ketua Negara sebaik sahaja baginda menaiki takhta pada awal 2024. Untuk ini, dititahkan agar kerajaan segera menangani masalah ini, antaranya untuk memupuk perpaduan negara yang di dalam ada kerukunan kental.

Dengan ini, pasti keinsanan Malaysia itu akan terbina bagi bukan sahaja untuk sokong-menyokong sesama kita yang berlainan etnisiti dalam segala sisi kehidupan harian, lebih-lebih lagi kehidupan nasional. Juga untuk menghormati satu sama lain dengan semangat kebangsaan yang mengutamakan entiti Melayu-Islam sebagai identiti nasional Malaysia dan identiti budaya rakyatnya.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN