KUANTAN: Tindakan pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad mengubah taktik pasukannya pada separuh masa kedua aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur City menyelamatkan tuan rumah daripada menerima kekalahan di laman sendiri.
Skuad Tok Gajah bernasib baik berjaya menyamakan kedudukan sebelum perlawanan berakhir dengan terikat 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh kelmarin.
Kemasukan David Rawley, Stefano Brundo serta Baqiudin Syamsudin pada 20 minit terakhir mengubah rentak aksi tuan rumah dengan aksi lebih agresif.
“Saya perlukan pemain yang boleh beraksi dari sayap dan mampu bermain bola tinggi kerana susah kirim bola dari tengah dalam keadaan padang yang kurang baik,” katanya.
Selepas kemasukan mereka, Sri Pahang tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol melalui sepakan penalti yang disempurnakan Brundo pada minit ke 80.
Walaupun seri, Fandi tetap berpuas hati dengan keupayaan Sri Pahang yang berjaya mengutip satu mata di hadapan penyokong sendiri.
Walaupun tuan rumah menguasai perlawanan dan mencipta sekurang kurangnya lima percubaan tepat di depan gawang lawan tetapi gagal gara-gara penyudah yang tumpul.
Fandi tidak menafikan kegagalan penyerang Sri Pahang itu seakan menjadi motivasi kepada pemain Kuala Lumpur City untuk mencetak gol awal. – UTUSAN










