Tidak wajar pisahkanuniversiti, mahasiswa, masyarakat

Tidak wajar pisahkan universiti, mahasiswa, masyarakat

PROGRAM Chit Chat Madani mendedahkan mahasiswa dengan pengalaman bagaimana sesuatu dasar kerajaan dibuat. – FACEBOOK ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI, mahasiswa dan masyarakat merupakan tiga komponen yang saling mempunyai hubungan dan tidak dapat dipisahkan. Tiga komponen ini mesti saling berhubungan dan jangan sesekali terpisah.

Universiti adalah tempat berkumpulnya para cerdik pandai (secara relatifnya) dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu. Di universitilah dicanai segala fikiran, ilmu diteroka dan dikembangkan atas dasar ilmu dan kebenaran, bukan atas sebab-sebab lain.

Universiti merupakan tempat ‘suci’ dan mempunyai peranan besar dalam pembangunan sesebuah bangsa dan tamadun. Jika universiti tidak maju, maka mundurlah sesebuah negara bangsa dan tamadun itu.

Masa perang dunia di benua Eropah, perjanjian khas dibuat antara Great Britain dan Jerman yang mana institusi pengajian tinggi (IPT)tidak boleh dimusnahkan.

Atas dasar itu, University Oxford dan University Cambridge terselamat daripada ancaman serta kesan buruk perang dunia yang berlaku, khususnya Perang Dunia Kedua.

Ketika mana bandar industri (seperti Coventry) dimusnahkan Jerman, tetapi bandar ilmu Oxford dan Cambridge terselamat. Bangsa yang maju meletakkan IPT pada tahap tinggi dan dihormati.

Daripada universitilah lahirnya pentadbir, ahli politik, peguam, ahli ekonomi, ahli sains serta segala kepakaran yang diperlukan sesebuah negara dan pembangunan tamadun.

Tanpa institusi universiti, sesebuah negara bangsa dan tamadun tidak dapat dipertahankan, mundur dan akhirnya akan mati.

Kerana itu, universiti mesti lebih terbuka dan dihormati oleh masyarakat. Universiti perlu mentafsir dan bertindak apa yang patut dan wajar bagi kepentingan masyarakat dan tamadun bangsa.

Jangan sesekali universiti dijadikan pusat ‘perdagangan’ atau kepentingan ekonomi. Fungsi utama universiti mesti kepada asas utama iaitu kepentingan ilmu dan yang berkaitan dengan pemahaman serta aplikasi ilmu.

Para pensyarah atau profesor memberi pemahaman, menggalakkan penerokaan dan aplikasi ilmu.

Perdebatan terbuka yang berteraskan ilmiah dan kebenaran mesti berlaku di dalam kampus. Masalah dan isu yang berlaku dalam masyarakat perlu dicanai dan diperdebatkan secara terbuka dan ilmiah oleh komuniti universiti.

Mahasiswa perlu didedahkan dengan ilmu asas yang mencukupi dan galakan penerokaan serta aplikasi tanpa batas (selagi tidak bertentangan dengan falsafah ilmu mahupun kebenaran ilmu). Mahasiswa perlu dibezakan dengan pelajar sekolah menengah.

Perdebatan terbuka perlu berlaku dalam kampus supaya majoriti mahasiswa faham hakikat yang berlaku dalam masyarakat.

Contohnya apa yang sedang berlaku dalam perkembangan semasa perlu didebatkan dalam masyarakat kampus dengan penuh terbuka dan ilmiah.

Perkembangan semasa antarabangsa dan domestik perlu dibahas dengan mendalam berasaskan fakta yang ‘benar’ dan bersifat ilmiah.

Contoh, isu kebakaran besar di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) awal bulan ini perlu dikupas dan didebat daripada pelbagai sudut.

Forum yang dihadiri profesor atau pensyarah daripada pelbagai disiplin ilmu boleh membuka minda dan mencerahkan pemikiran mahasiswa serta masyarakat umum.

Begitu juga dengan Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Perbahasan dalam kampus yang bersifat ilmiah boleh dilakukan oleh mereka yang pakar dalam hal-hal berkaitan undang-undang dan pentadbiran.

Persoalan ini tidak boleh dilakukan sembarangan orang dalam khalayak umum di luar kampus. Hal-hal yang berkaitan dengan raja-raja Melayu atau Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dibincangkan secara terbuka di luar kampus.

Asas dan matlamat utama perbincangan adalah untuk membina pemahaman serta mengembangkan ilmu (dan tidak mempunyai matlamat atau objektif lain.

Dengan adanya perbincangan begini akan meningkatkan kematangan dan tahap pemikiran mahasiswa. Bila tahap kematangan ilmu benar-benar tinggi akan membolehkan mahasiswa bertindak di luar kampus dengan lebih tepat serta tidak menyalahi undang-undang negara.

Pentadbiran universiti khususnya bahagian hal ehwal pelajar perlu merangka dengan baik pengurusan dan kegiatan mahasiswa. Sebarang kemungkinan gerakan mahasiswa yang bersifat radikal dan beremosi perlu diselesaikan dengan sebaik mungkin melalui saluran yang betul dan berkesan.

Konflik perlu diselesaikan dengan cara sederhana yang dapat mengelakkan sebarang ketegangan.

Kegiatan mahasiswa tidak boleh disekat, tetapi perlu kawalan dan menjurus kepada saluran yang bersifat sederhana.

Mahasiswa tidak boleh bertindak mengikut perasaan, tetapi bertindak dengan tepat berasas peraturan dan asas yang tepat.

Persoalan berkaitan dengan isu seperti raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu, hak keistimewaan orang-orang Melayu memerlukan pengetahuan dan tahap pemahaman undang-undang yang jelas dan benar-benar tepat.

Persoalan-persoalan ini tidak boleh disentuh dengan semberono tanpa mempunyai pengetahuan yang betul-betul mantap.

Universiti, mahasiswa dan masyarakat tidak wajar terpisah. Universiti dan mahasiswa tidak wajar memekak telinga dan membutakan mata dengan apa yang berlaku dalam masyarakat.

Masyarakat perlu melihat universiti dan mahasiswa sebagai rakan yang perlu didampingi.

JANGAN SEKAT MAHASISWA
Ilmu dan kepakaran yang ada di universiti bukan hanya sekadar untuk menghasilkan ijazah semata-mata, tetapi aplikasi semasa yang berterusan dalam membina kestabilan dan keharmonian masyarakat dan negara.

Kuasa politik dan pihak berkuasa perlu melihat gerakan mahasiswa yang tidak bertentangan dengan undang-undang negara sebagai sesuatu yang positif.

Tindakan menyekat aktiviti mahasiswa demi kepentingan singkat sebelah pihak bukanlah langkah yang benar-benar bijak.

Tindakan menyekat itu mungkin baik bagi setengah pihak bagi jangka pendek, tetapi ia memberi kesan negatif bagi kepentingan umum tamadun negara bangsa dalam jangka panjang.-UTUSAN

 

PROFESSOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felo Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan dan Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN