PETALING JAYA: Lagenda badminton negara, Datuk Razif Sidek, menyifatkan sudah tiba masanya skuad negara mengakhiri kemarau kejuaraan di Terbuka Malaysia apabila kejohanan bertaraf dunia itu kembali berlangsung di tanah air.
Menurut Razif, pemain-pemain negara harus memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan padu peminat tempatan sebagai penyuntik semangat untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan tersebut.
“Kejohanan ini berlangsung di tanah air kita sendiri, jadi pemain perlu mengambil kesempatan sepenuhnya.Dengan penyokong yang sentiasa memberikan sorakan, tiada sebab untuk mereka tidak berjaya sekurang-kurangnya ke peringkat akhir.
“Kita sudah lama tidak memenangi sebarang kategori di Terbuka Malaysia. Ini peluang terbaik untuk pemain memecahkan kebuntuan kejuaraan, tidak kira kategori perseorangan, beregu mahupun beregu campuran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Razif turut mengingatkan para pemain agar tidak menjadikan perbezaan ranking dunia sebagai penghalang untuk memberikan persembahan terbaik.
“Walaupun ranking mereka tidak begitu tinggi, yang penting adalah usaha untuk mencabar pemain bertaraf dunia.Ia satu langkah penting bagi meningkatkan keyakinan serta pengalaman mereka di kejohanan antarabangsa,” tambahnya.
Dalam pada itu, Razif mengakui skuad lelaki negara masih memerlukan peningkatan, terutama dalam aspek konsistensi.
Namun, beliau percaya kehadiran barisan jurulatih baharu mampu membawa perubahan positif kepada prestasi pemain.
“Pemain beregu lelaki kita ramai yang berpengalaman, jadi ini bukan alasan untuk tidak berjaya. Sokongan penuh harus diberikan kepada mereka untuk memastikan mereka mampu tampil lebih cemerlang,” katanya.
Razif turut menyeru peminat badminton tanah air untuk terus memberi sokongan padu kepada skuad negara sepanjang kejohanan berlangsung.
“Malaysia sentiasa di belakang pemain-pemain kita. Harapan saya, mereka bukan sahaja mampu ke final, tetapi memberikan persembahan terbaik untuk mengangkat nama negara,” ujarnya.
Kali terakhir pemain Malaysia menjuarai Terbuka Malaysia adalah pada tahun 2014 melalui gandingan beregu lelaki Goh V Shem dan Lim Khim Wah serta Datuk Lee Chong Wei memenangi acara perseorangan lelaki pada tahun 2013. – UTUSAN










