Penat atau tidak bersedia?

Persediaan pemain undang persoalan

GOH Jin Wei
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setakat petang semalam hanya lima daripada 14 pemain negara berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan kedua badminton Terbuka Malaysia 2025 yang masih berlangsung manakala baki sembilan lagi lebih awal menemui jalan pulang, kandas di peringkat awal.

Bermain di gelanggang sendiri sepatutnya tidak menjadi penamat awal kepada kem negara, sebaliknya seorang demi seorang ditunjukkan jalan keluar termasuk pemain pilihan.

Apa sudah jadi? Persoalan di sini apakah pemain tidak membuat persediaan lebih awal atau persiapan yang dibuat tidak mencukupi walaupun ada dalam kalangan pemain yang memberi alasan jadual padat kejohanan disertai musim lalu menjadikan mereka keletihan.

Alasan seperti ini tidak sewajarnya menjadi soal pokok kerana mana-mana pemain termasuk yang bergelar profesional sepatutnya lebih menyedari bahawa Kejohanan Terbuka Malaysia merupakan pertandingan di awal musim setiap tahun, dengan status tingginya Super 1,000. 

Namun, bagi pemain No. 6 dunia, Shevon Jamie Lai, jadual yang terlalu padat dengan Jelajah Dunia Akhir menjadi pertandingan penutup musim hanya selang beberapa minggu sebelum Terbuka Malaysia mungkin menyebabkan faktor keletihan kepada segelintir pemain.

“Seperti saya dan pasangan (Goh Soon Huat), kami perlu beraksi pada Jelajah Dunia Akhir (di Hangzhou, China, Disember lepas), kami hanya ada beberapa minggu sebelum mula kembali musim baru. Walaupun saya ada beberapa hari rehat, tetapi hendak dapatkan kembali rentak sebenarnya saya perlukan masa,” katanya.

Persoalannya, mampukah wakil Malaysia menamatkan badi juara Terbuka Malaysia yang mana kali terakhir dimenangi oleh Datuk Lee Chong Wei pada 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN