NILAI: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri tidak menunggu lama untuk memulakan musim ini dengan langkah kanan apabila menjuarai Siri Satu Piala Presiden 2025 di Velodrom Nasional di sini, semalam..
Pelumba 21 tahun itu memenangi pingat emas bagi acara pecut elit perseorangan wanita setelah menewaskan lawan dari Korea Selatan, Kim Haeun manakala gangsa menjadi miliki Nur Alyssa Mohd Farid dari Malaysia B.
Kemenangan itu menjadi tonik terbaik Nurul Izzah untuk beraksi di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) yang akan berlangsung di venue yang sama pada Februari ini.
“Memang sangat sukar sangat sebab bersaing dengan Korea Selatan kerana mereka memiliki ramai pelumba senior yang kuat. Bagi saya, tidak mengulangi perkara yang sama.
“Saya buat terbaik untuk perlumbaan penentuan. Pada perlumbaan kedua saya agak perlahan seketika tetapi pada perlumbaan saya tidak mengulangi perkara yang sama,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Atlet kelahiran Kedah itu mengakui dia semakin serasi menggunakan jentera WX-R Vorteq yang mula digunakan sebulan sebelum perlumbaan di Sukan Olimpik Paris 2024 bermula.
“Untuk basikal WX-R saya sudah selesa, daripada segi posisi semuanya sudah sesuai untuk saya. Nanti untuk perlumbaan seterusnya saya akan menggunakannya bagi acara satu kilometer (km) yang mana saya perlu turunkan pemegang basikal.
“Mungkin mengambil masa tetapi masih berlatih seperti biasa,” katanya.
Dalam pada itu, bagi saingan lelaki menyaksikan Muhammad Ridwan Sahrom merangkul gangsa selepas menewaskan rakan senegara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis.
Emas diraih pelumba Australia, Sam Gallagher selepas menewaskan pelumba Korea Selatan Bae Junhyeong yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak. – UTUSAN










