PETALING JAYA: Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia akan menjadi pembuka tirai bagi musim 2025 dan sekali lagi peminat mengharapkan kemenangan selepas Datuk Lee Chong Wei menjadi pemain terakhir berjaya berbuat demikian pada 2018.
Cabaran yang bermula pada 7 Januari ini meletakkan harapan sekali lagi di bahu barisan pemain kebangsaan yang diketuai beregu No. 3 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani.
Selain Sze Fei-Izzuddin, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut membawa misi sama untuk memburu gelaran sulung.
Kali terakhir wakil negara menjuarai Terbuka Malaysia menerusi beregu lelaki Goh V Shem-Lim Khim Wah pada 2014 dan selepas itu, hanya Aaron-Wooi Yik muncul wakil terbaik negara apabila mara sehingga ke separuh akhir dalam kejohanan 2022.
Selain dua beregu utama tersebut, cabaran Malaysia turut digalas lima lagi gandingan iaitu Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Arif Junaidi-Yap Roy King, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Nur Mohd Azryn Ayub Azryn-Tan Wee Kiong.
Untuk aksi perseorangan lelaki, pemain No. 29 dunia, Leong Jun Hao bakal membawa cabaran Malaysia pada kejuaraan kali ini dengan kelibat jaguh No. 6 dunia, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong masih lagi menjadi tanda tanya.
Zii Jia ditimpa kecederaan ligamen buku lali kanannya sewaktu menyertai Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, Disember lalu manakala Tze Yong yang lama berehat ekoran kecederaan belakang masih belum pasti cukup cergas untuk beraksi.
Jurulatih perseorangan lelaki, K. Yogendran berkata, selaku jurulatih, beliau amat mementingkan keputusan para pemainnya pada Terbuka Malaysia nanti.
“Saya tak sasarkan pusingan pertama atau kedua, kalau kita lakukan benda betul, keputusan akan datang, kalau kita tak buat dengan betul maka keputusan takkan datang.
“Jadi, sasaran saya sebaik pemain masuk gelanggang beri yang terbaik untuk kutip mata dan sebagai pemain mereka kena terima tekanan, kalau tak ada ia tak seronok, para pemain kena pandai menikmati suasana itu,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia.
Sementara itu, untuk saingan wanita, Pearly Tan-M. Thinaah masih menjadi sandaran terbaik Malaysia dan seperti Zii Jia, gandingan No. 6 dunia itu tidak mempunyai rekod yang baik pada Terbuka Malaysia.
Bagi beregu campuran pula, Malaysia mampunyai empat wakil dengan diketuai Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (No. 6 dunia) yang menjadi pasangan terbaik negara mara ke suku akhir pada 2023 diikuti Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai (No. 7 dunia), Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (No. 20 dunia) dan Hoh Pang Ron-Cheng Su Yin (No. 21 dunia). – UTUSAN










