KUALA LUMPUR: Skuad badminton wanita negara tidak akan menjadi sehebat bekas pemain perseorangan Datin Wong Mew Choo yang disifatkan sanggup bekerja keras untuk berjaya jika terlalu banyak merungut dalam sesi latihan.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pada era kegemilangan Mew Choo, walaupun tanpa kehadiran rakan sepelatih yang setaraf dengannya di Malaysia, legenda tanah air itu masih mampu menumbangkan pencabar yang bukan calang-calang lawan.
“Kita masih belum ada pengganti pemain sehebat Mew Choo, kita lihat Mew Choo dulu dia tak ada rakan sepelatih yang setaraf dia di Malaysia.
“Tetapi, bagaimana, dia boleh menang Terbuka China mengalahkan Zhang Ning, Xie Xin Fang tetapi sekarang kita tak nampak pemain puteri kita ada keinginan itu, untuk menjadi pemain berkelas dunia harus mampu menahan semua yang kita tak suka,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena, Bukit Jalil, kelmarin.
Rexy berkata, Malaysia mempunyai pemain perseorangan seperti K. Letshanaa dan Wong Ling Ching, serta dua pemain remaja Oo Shan Zi dan Siti Zulaikha Azmi.
Katanya, isu pemain wanita negara pada ketika ini ialah terlalu banyak rungutan dan sering mengeluh penat kerana tidak tahan dengan corak latihan yang keras.
“Seperti Wong Ling Ching, dia main sudah bagus, cuma perlu sabar dan kalau kita turun ke bawah sikit, kita ada Shan Zi dan Siti Zulaikha.
“Justeru, saya lihat Ong dan Siti kalau kita benar-benar latih mereka dan mahu tahan dan sanggup berkorban saya rasa dua ini mampu pergi jauh,” katanya.
Bagaimanapun, bekas juara dunia itu berkata, kritikan tersebut tidak bererti kualiti pemain-pemain berkenaan teruk, cuma apa yang dituntut jurulatih ialah sanggup berkorban dan sedia bergelut dengan keperitan.
“Saya terus terang Letshanaa badan dia kuat, cuma hati dia yang kurang kuat, mahu itu penat, sedangkan semasa latihan sudah bagus,” katanya.
Rexy berkata, Letshanaa dan Ling Ching perlu bangkit segera kerana pemain Thailand, Pornpicha Choeikeewong yang pernah mereka tewaskan sedikit masa dulu kini sudah mampu mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia.
“Dia juga mampu menewaskan pemain China, Han Yue (No. 5 dunia), maka ertinya, kita punya perseorangan wanita perlu berusaha lebih keras dan lagi fokus dalam latihan untuk jadi kuat fizikal, saya rasa mereka bisa sampai situ.
“Cuma sekarang kembali kepada pemain itu mahu bekerja keras atau tidak kerana kalau di luar negara, maaf ya saya cakap, kalau di China, Jepun, Korea, Indonesia atau Denmark, mungkin sudah kena buang,” katanya. – UTUSAN











