Kerja keras jamin tempat dalam Harimau Malaya 

Kerja keras jamin tempat dalam Harimau Malaya 

SAFAWI RASID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain Terengganu FC, Safawi Rasid, mengakui kehadiran pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya memberikan cabaran hebat kepada pemain tempatan walaupun ia merupakan peluang untuk meningkatkan mutu pasukan.

Safawi berkata, pemain warisan mempunyai kelebihan tersendiri yang mampu memberi impak besar kepada prestasi pasukan. 

Namun, dia juga yakin pemain tempatan tidak seharusnya berasa terancam, sebaliknya menjadikan situasi ini sebagai motivasi untuk terus bekerja keras dan membuktikan kemampuan.

“Bagi saya, kehadiran pemain warisan ini ada pro dan kontra. Ada yang bagus dan ada juga yang tidak begitu menonjol. 

“Sama seperti pemain tempatan, bukan semua berada di tahap terbaik. Pemilihan pemain terletak sepenuhnya di tangan ketua jurulatih, dan saya yakin keputusan dibuat untuk kebaikan pasukan,” katanya pada sidang media Trofi Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee di Sunway Velocity Cheras.

Safawi juga mengakui tekanan untuk bersaing dengan pasukan-pasukan hebat di peringkat Asia Tenggara semakin tinggi, namun percaya kejohanan Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee ini menjadi platform terbaik untuk pemain tempatan menunjukkan keupayaan mereka.

“Ini peluang untuk kita buktikan pemain tempatan juga mampu bersaing di peringkat tertinggi. Saya mahu rakan sepasukan lebih fokus dan memberikan yang terbaik.

“Apa-apa pun boleh berlaku dalam bola sepak, dan kita perlu memanfaatkan setiap peluang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN