Jun Hao janji aksi terbaik  

Jun Hao janji aksi terbaik  

Leong Jun Hao menguji permainannya di gelanggang Arena Axiata Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hanya aksi terbaik dijanjikan Leong Jun Hao, sekalipun menyedari lawan yang bakal ditentangnya seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil bukanlah calang-calang pencabar.

Pemain No. 16 dunia, Lu Guang Zu dari China bakal menjadi penghalang pertama wakil tunggal perseorangan lelaki negara itu dan bintang No. 1 dunia, Shi Yu Qi menantinya di peringkat 16 terbaik jika anak jati Kuala Lumpur tersebut menghidupkan peluang.

“Saya jumpa Guang Zu pada pusingan pertama, dia seorang pemain yang sangat sukar, tahun lepas dia kalahkan Zii Jia di sini.

“Jadi, saya sudahpun membuat persediaan terbaik untuk pertemuan itu, berdepan pemain China tidak mudah mereka memiliki kekuatan mental dan fizikal yang sangat bagus,” kata Jun Hao kepada pemberita selepas sesi ujian gelanggang menjelang Terbuka Malaysia 2025, semalam.

Mengulas mengenai tekanan bermain di tanah air sendiri, Jun Hao tidak menolak hakikat tersebut kerana harapan yang diletakkan peminat tempatan cukup besar kepada wakil Malaysia.

Katanya, dia berusaha untuk mengurangkan tekanan tersebut dan kali pertama tampil pada Terbuka Malaysia amat bermakna buat dirinya.

“Saya sebelum ini bergelut dengan prestasi ketika berada di ranking ke-30, 40, malah, saya sukar untuk melepasi halangan separuh akhir pada kejohanan lebih tinggi.

“Tetapi, sejak tahun lepas saya mula bermain lebih konsisten dan untuk penyertaan pada Terbuka Malaysia saya tidak letakkan sebarang sasaran cuma fokus satu demi satu perlawanan,” kata Jun Hao yang muncul naib juara Jepun Masters, November lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan, Kenneth Jonassen ketika ditemui pula berkata, beliau mahu Jun Hao menikmati setiap perlawanan yang diharunginya dan berdepan Guang Zu seawal pusingan pertama tidak mudah.

“Saya rasa sasaran utama ialah fokus kepada pertemuan itu sendiri dan bukannya berfikir sejauh mana Jun Hao mampu melangkah pada kejohanan ini,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×