PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC menjadi dua pasukan pilihan untuk melangkah ke pentas final Piala Malaysia berdasarkan kelebihan memiliki bekalan selesa semasa aksi pertama separuh akhir dan bermain di laman sendiri selepas ini.
Penganalisis bola sepak tempatan, Hasnizam Uzir berkata meskipun kesemua pasukan masih mempunyai 90 minit kedua namun selepas melihat JDT menewaskan Terengganu FC 4-0 pada aksi pertama, dia tanpa rasa ragu-ragu memilih skuad Harimau Selatan.
Hasnizam merupakan bekas pemain Johor era 90-an, berkata berdasarkan rekod, JDT kebal beraksi di laman sendiri apabila bakal menerima kunjungan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi timbal balik pada 1 Februari ini.
“Selain itu juga, JDT menunjukkan keseimbangan di semua bahagian yang mana semua pemain boleh menjaringkan gol malah taktikal yang digunakan oleh jurulatih Hector (Bidoglio) tidak terlalu terlalu laju.
“Mereka akan bermain laju mengikut kesesuaian apabila terdapat peluang untuk mencipta gol,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Walaupun Sri Pahang FC terikat 1-1 menentang Sabah FC di Kotak Kinabalu pada Sabtu lalu namun berdasarkan taktikal yang digunakan Fandi Ahmad menjadikan skuad Tok Gajah sebagai pasukan pilihan untuk ke final.
“Saya tak menafikan, Sabah FC ada pemain berkualiti tetapi jangan lupa aksi kedua nanti Sri Pahang akan bermain di laman sendiri. Mereka dibarisi pemain muda yang dilihat boleh menggalas tugas serta mengikut arahan dengan baik daripada jurulatih.
“Sri Pahang mempamerkan variasi taktikal daripada Fandi malah kita boleh lihat apabila menyerang, pemain tengah mereka pantas memasuki ke kawasan kotak penalti Sabah dan ia memberi tekanan kepada lawan,” katanya.
Sri Pahang menentang Sabah FC dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada 2 Februari ini. – UTUSAN










