ORANG melihat Parlimen sebagai platform bergaduh antara ahlinya, serang personaliti dan jika ada pun mungkin sekadar dua peratus sahaja membangkitkan isu rakyat, sekali gus menyebabkan masyarakat muak untuk menonton persidangan berkenaan.
Namun perkara itu disangkal Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC), DATUK MOHD. SHAHAR ABDULLAH kerana tidak pernah timbul isu serang-menyerang antara satu sama lain memandangkan itu hanyalah salah faham dan gurauan manja dalam ‘keluarga’.
Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, Mohd. Shahar yang juga merupakan ahli Parlimen Paya Besar menyatakan ahli Parlimen di Dewan Rakyat memfokuskan isu serta permasalahan rakyat sehingga ruang dan masa yang diperuntukkan tidak mencukupi.
Kerana itu, beliau menjelaskan BBC berperanan sebagai mata dan telinga Kerajaan Perpaduan di Parlimen, sementara menjadi kaki dan tangan dalam menyampaikan dasar atau polisi kerajaan di peringkat akar umbi di kawasan masing-masing.
Ikuti penjelasan penuh beliau yang turut disertai jurufoto, FARIZ ROSADIO dan juruvideo, MOHD. FIKRI PADIL @ FADZIL di Parlimen, baru-baru ini.
PERANAN SEBENAR
Secara dasarnya, BBC berperanan dalam menguruskan hal ehwal ahli-ahli Parlimen kerajaan bukan eksekutif sepanjang Persidangan Dewan Rakyat.
Perlu difahami meskipun BBC bukanlah sebuah entiti rasmi kerajaan, namun adalah tulang belakang yang membantu memastikan kelicinan urusan tadbir urus berkaitan anggota pentadbiran, Yang di-Pertua, setiausaha dan ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
BBC dari parti pemerintah (kerajaan) bertanggungjawab memastikan kerajaan melaksanakan dasar dengan baik dan bertindak mengikut kepentingan rakyat. Ini bermakna kami memastikan semak dan imbang dapat ‘dipegang’ dengan sebaik mungkin. Mereka boleh memberi maklum balas, mengkritik atau mencadangkan penambahbaikan kepada dasar kerajaan.
Sebagai wakil rakyat, BBC berperanan menyuarakan kebimbangan, isu dan keperluan pengundi selain menjadi penghubung di kawasan pilihan raya mereka. Maknanya, menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan.
BBC juga berperanan dalam menyokong dan mendukung agenda Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan perdana menteri di samping bertindak sebagai platform semak dan imbang kepada pelaksanaan dasar serta polisi kerajaan.
Ada juga perkara-perkara yang melibatkan dari segi umum. Bukanlah daripada rakyat setempat sahaja yang datang jumpa mereka, tetapi kadang-kadang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kuasa ketiga. Mereka juga mesti berperanan sebagai pendengar dan memperjuangkan isu (yang dibangkitkan) di Dewan Rakyat.
Kita yakin menjadi ahli jawatankuasa BBC bukan sahaja tertumpu pada Dewan Rakyat, mereka juga menjadi anggota Jawatankuasa Pilihan Khas dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Kadang-kadang juga berperanan untuk bekerjasama dalam kalangan negara ASEAN, contohnya di bawah Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA), di bawah Kesatuan Antara Parlimen (IPU). Jadi bukan sahaja tertumpu pada Dewan Rakyat, kita juga berperanan untuk mewakili pihak legislatif di peringkat antarabangsa.
Sudah pasti kita menyuntik prinsip dan nilai yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan hari ini memegang perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen sebagai prinsip dan nilai yang utama. Kalau kita tengok balik, peranan ini sama sebagaimana BBC semasa zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN).
MASIH BERPERANAN SEPERTI SEBELUM INI
Sekarang bila kita tengok dalam Kerajaan Perpaduan ada pelbagai parti, saya nampak peranan dan struktur pada asasnya masih sama, cuma pendekatan yang diambil sejurus diamanahkan sebagai pengerusi BBC selepas Datuk Seri Johari Abdul Ghani ialah memastikan ia bergerak dan berfungsi sebagai satu pasukan.
Maksudnya kita mesti ada keputusan kolektif antara parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Kita adakan tiap-tiap minggu mesyuarat dan buat sedikit kelainan. BBC bukan hanya tertumpu kepada ahlinya tetapi mewujudkan tiga program penting untuk melibatkan orang luar, seperti Chit-Chat Madani yang mendekatkan pemimpin dengan mahasiswa di universiti.
Kita bawa mereka datang ke Parlimen untuk pelajar memahami dan memperoleh pengalaman bagaimana sesuatu dasar di buat. Kita juga adakan aktiviti bersukan seperti perlawanan bola sepak dan badminton ketika luar sidang Dewan.
Ini penting kerana 93 ahli BBC bukan hanya pernah menjadi wakil rakyat penggal pertama tetapi mereka juga pernah menjadi menteri besar dari peringkat negeri, ada yang menteri, ada perdana menteri, timbalan menteri, bekas pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan semua ini diterjemahkan supaya BBC dapat berkongsi ‘ratusan’ pengalaman dalam politik.
Sebab itu pendekatan saya adalah mesti berkongsi segala pengalaman yang ada dan kita juga adakan tindak balas segera melalui Breakfast with minister.
SARAPAN DENGAN MENTERI
Katakan ada isu-isu yang berlaku minggu lepas dan kita mesti betulkan persepsi. Jadi, menteri datang pukul 9 pagi bagi membentangkan isu dan bersoal jawab dengan BBC. Peranan kita pula memahami dan memudahkan proses tersebut.
Dan kita juga ada Friends of Ministry, yang mana ahli-ahli Parlimen akan memahami secara lebih dalam sesuatu dasar supaya kualiti debat akan tertumpu. Ini bukan bermakna BBC sebagai tukang mengampu.
Konsepnya adalah mereka mempunyai keupayaan sebab kita buat taklimat. Tetapi penglibatan yang kerap secara berkala dengan ahli Parlimen oleh pihak eksekutif mesti dilakukan.
Pada masa akan datang, BBC juga merancang mengadakan pemukiman Kerajaan Perpaduan bersama kesemua ahli-ahli Parlimen bagi tujuan mengertakan lagi silaturahim dan memantapkan lagi persefahaman sedia ada.
KEPELBAGAIAN PARTI
Saya beruntung sebab ambil alih daripada Johari, jadi penetapan sudah ada, cuma saya tambah baik. Cabaran tetap ada antaranya perlu faham semangat Kerajaan Perpaduan itu.
Mesti ada tolak ansur, perbincangan, musyawarah dan ini semua akan memberikan keputusan kolektif. Saya ingat apa-apa pun kita boleh bincang. Biasalah kalau kita tengok perbincangan itu kadang-kadang nampak tegang sedikit. Itu perkara biasa. Dalam keluarga pun berlaku, apa ntah lagi politik, yang pentingnya ia tidak membarah.
Ia hanya berkisar tentang perbezaan pandangan tetapi di luar Dewan, mereka tetap bersama, minum semeja dan itu adalah ‘saksi mata’ untuk semua.
Setiap ahli mempunyai pendapat dan pandangan masing-masing memandangkan perbezaan ideologi politik yang ada dalam kerajaan sekarang. Walau bagaimanapun, dalam kepimpinan saya, lebih meraikan perbezaan pendapat. Untuk menyelesaikannya, saya lebih banyak berbincang dan mencari titik pertemuan dan persamaan.
Jika masih sukar untuk menemui jalan penyelesaian, kita akan rujuk ketua whip dan ketua majlis (perdana menteri) bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit.
TIDAK SELANTANG DAHULU
Lantang bagaimana? Adakah lantang itu hanya disebabkan kita berdegar-degar memaki hamun orang tanpa ada fakta? Saya harap media juga adil untuk membuat liputan keseluruhan spektrum, bukan hanya tertumpu kepada isu-isu yang sensitif. Sebab saya lihat perbahasan mereka ada menyengat.
Ada perkara-perkara yang kita jangka akan menjadi perdebatan. Bukan hanya mengikut rentak pembangkang tetapi BBC ada rentak sendiri. Kalau kita tidak puas hati dalam Dewan dan kita boleh jumpa di pelbagai platform yang diaturkan seperti Friends of ministry, Breakfast with minister, perjumpaan bersemuka dengan menteri dan ini semua akan memberi ruang.
Kita perlu faham rakyat sudah tidak suka pendekatan yang lama tetapi ramai orang beranggapan mahu seperti yang lama seperti bangun dan menjerit-jerit tetapi pandangan saya, jika perbahasan tersebut melandaskan fakta dan data, ia akan memberikan ruang kefahaman serta wajah Malaysia pada masa yang akan datang. Kita perlu ingat 40 hingga 30 tahun lalu tiada siaran langsung.
Jadi, kurang tepat atau tidak adil jika beranggapan terdapat ahli-ahli Parlimen yang pasif atau kurang taring dalam mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
Kadang kala bertaring itu tidak semestinya berani dan betul. Setiap ahli Parlimen kerajaan sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab sama ada di Dewan Rakyat mahupun di lapangan.
AGRESIF
Sifat agresif sangat subjektif. Saya lihat ramai ahli-ahli Parlimen sangat agresif, jika tidak ketika perbahasan, mereka agresif dalam melaksanakan tugas yang membawa agenda rakyat sebagai jawatankuasa-jawatankuasa yang dibentuk di Parlimen seperti Jawatankuasa Pilihan Khas, PAC dan sebagainya.
Tetapi jangkaan rakyat dengan realiti juga perlu seimbang. Kita tidak bolehlah katakan rakyat mahu sedemikian tetapi dari segi fakta dan datanya sebegini. Jadi tugas BBC dan wakil rakyat juga harus mengambil kekuatan untuk menerangkannya.
Kadang-kadang hanya ambil sahaja suara rakyat, bawa kepada rakyat tetapi kita tidak mahu mendengar apakah alasan-alasan dan faktor-faktor menyebabkan dasar tersebut terbentuk. Itu mesti ada komunikasi dua hala.
Isu yang dibahaskan bersifat tidak adil kepada kerajaan sukar digubal waktu ini kerana proses tersebut perlu melalui Jawatankuasa Pilihan Khas yang turut melibatkan pembangkang. Maknanya sistem reformasi Parlimen berterusan.
BANYAK BERGADUH
Mungkin ada segelintir tetapi pada BBC itu hanyalah salah faham atau gurauan manja dalam keluarga. Di luar Dewan, kita masih bersama bergurau ketawa, minum kopi di bilik whip tanpa sebarang masalah.
Tidak timbul isu serang menyerang antara satu sama lain kerana menghormati semua pihak yang mendukung kerajaan hari ini.
Isu rakyat sering menjadi keutamaan kami. Jika dilihat soalan-soalan lisan pada sesi pagi menjurus permasalahan rakyat dan awam. Jadi, tidak timbul ahli Parlimen tidak membawa isu rakyat.
Seperti diri sendiri, saya bangkitkan isu berkaitan Kementerian Kewangan dan ekonomi yang memberi implikasi kepada kehidupan rakyat.
Setiap kali persidangan berlangsung, ahli BBC tidak pernah gagal memperjuangkan keluh resah rakyat, malah terus menekan kerajaan untuk memberikan yang terbaik untuk seluruh rakyat.
SATUKAN PARTI DALAM BBC
Saya fikir, ini bukanlah amanah kecil kerana saya lihat pemimpin-pemimpin yang menjadi pengerusi BBC sebelum ni mempunyai pengalaman yang luas.
Saya tiada janji tetapi berharap ahli-ahli saya dapat merasai corak kepemimpinan yang dibawa. Saya lebih mahu mengeratkan silaturahim dan yang paling penting semua isu-isu yang dibangkitkan perlukan penjelasan, mesti diterangkan dan difahami.
Saya tidak suka berjanji kerana yang penting ialah bukti sepertimana yang saya sedang kemudikan pada hari ini. Maknanya dari segi mesyuarat mingguan kita ada, aktiviti-aktiviti tambahan kita ada. Kita mesti bentuk BBC sebagai sebuah keluarga.
Dalam keluarga mestilah ada ‘itu’ dan ‘ini’ tetapi kita selesaikan secara mesyuarat.
Yang penting, perlu berpegang pada prinsip semak dan imbang melalui fakta dan data. BBC perlu dilihat bukan sekadar menyokong kerajaan sahaja.
Saya tidak mahu bertindak seperti guru disiplin. Saya bagi mereka peluang setelah kita faham apa matlamat hujungnya, iaitu mahu lihat Kerajaan Perpaduan dapat membimbing Malaysia untuk tingkatkan ekonomi, pulihkan struktur sosial, jaga keamanan dan menjadi filosofi.
Kerana itu komunikasi perlu jelas dan tidak boleh beranggapan jika ada perbezaan pendapat, maknanya kita ini sedang retak menunggu belah.
Parlimen dilabel tempat berpolitik, bukan pejuang hak rakyat
Ini bagi saya adalah proses. Kita tidak boleh halang wakil rakyat yang mempunyai hak seperti mana termaktub dalam Perlembagaan dan termaktub di bawah syarat mesyuarat. Walaupun kadang-kadang mereka agak ‘lari’ sedikit tetapi inilah rencam Dewan, bukan semua ‘warna’ sama. Mereka datang daripada ‘warna’ yang berbeza.
Ada yang datang daripada korporat, ada yang datang daripada kampung dan sebagainya. Jadi, cara mereka ekspres itu berbeza. Cumanya jangan ‘lari’ daripada asas yang utama.
Prinsip kita sebagai wakil rakyat memperjuangkan rakyat dan mesti memastikan rakyat memahami. Cuma jangan cemarkan Dewan dengan perkataan atau tindakan yang kurang senonoh.
Sewajarnya ia membawa perdebatan yang tertumpu pada fakta, data dan kita mesti berasaskan apakah keperluan rakyat. Bukan hanya tertumpu kepada perjuangan ideologi parti masing-masing. Biarlah pilihan raya itu berlangsung pada tempoh tertentu.
Saya tidak boleh mengarahkan kerana menjunjung sistem demokrasi berparlimen, cuma pesanan saya, berpolitik di luar waktu persidangan. Persidangan sepatutnya tertumpu memperjuangkan rakyat, bukan gunakan ruang Parlimen sebagai salah satu proses untuk kempen politik.
Gunakan fakta, gunakan data, rujuk kes-kes yang ada bukti kuat untuk mengasaskan hujah-hujah itu. Sebab kita perlu ingat dalam media sosial, ia kekal. Malah generasi akan datang pun akan rujuk semula rakaman tersebut. Jadi, kita tidak mahu ‘taburkan’ perkara-perkara tidak betul, persepsi sangat durjana, yang akhirnya akan meruntuhkan nilai dan prinsip dipegang selama ini sebagai wakil rakyat.
BBC kini lebih terbuka dan inklusif. Saya sedang usaha untuk merakyatkan Parlimen dengan membenarkan lebih banyak individu, golongan berkepentingan, NGO, syarikat persatuan dan tidak ketinggalan golongan profesional serta pakar untuk bersama.
Kami sedang berusaha meningkatkan kualiti perbahasan setiap ahli Parlimen BBC dengan mengadakan lebih banyak perjumpaan dengan pakar sama ada dari universiti atau pemain industri itu sendiri.
Ini akan meningkatkan kualiti yang disalurkan kepada ahli-ahli Parlimen atau kita gelar maklumat daripada sumber pertama, yang mana ia daripada sumber yang betul dan sahih, bukan dari buku, surat layang atau artikel yang boleh dipetik daripada media sosial seperti yang sering dilakukan pembangkang hari ini.
Saya kira, apa sahaja isu yang dibangkitkan, mesti berlandaskan kepada peraturan undang-undang supaya sentiasa berpegang kepada prinsip Keluruhan Pelembagaan, Kedaulatan Undang-Undang. Sekiranya perkara-perkara itu masih berada dalam perbincangan di pihak mahkamah, biarkan, jangan kita campur-adukkan sebabnya pemisah kuasa yang ada sudah cantik.-UTUSAN









