PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengakui kejayaan mereka menamatkan kemarau 15 tahun Malaysia di Terbuka India, kelmarin adalah hasil inspirasi daripada gaya permainan beregu veteran Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.
Menurut Sze Fei, mereka banyak memerhati dan mempelajari gaya permainan pasangan berpengalaman itu, terutama dalam mengawal rentak di jaring menggunakan pukulan lembut yang tepat.
“Kami menjadikan mereka idola kerana kebijaksanaan mereka dalam permainan, dan kami berusaha meniru cara mereka menguasai jaring.
“Ahsan-Hendra juga sangat hebat dalam membaca permainan lawan, dan kami cuba menerapkan aspek itu dalam strategi kami,” kata Sze Fei.
Dalam masa yang sama, Nur Izzuddin menambah bahawa gaya permainan Ahsan-Hendra yang berasaskan kesabaran dan serangan bijak banyak membantu mereka menyesuaikan diri dengan strategi lawan sepanjang kejohanan.
Pasangan Indonesia yang pernah menjadi beregu No. 1 dunia itu akan bersara minggu depan, menjadikan Indonesia Masters sebagai pentas terakhir mereka beraksi bersama.
Beregu No. 2 dunia itu turut meluahkan penghargaan atas inspirasi besar yang diberikan oleh Ahsan-Hendra sepanjang karier mereka.
“Kami berharap dapat terus mengikut jejak langkah mereka dan membawa kejayaan lebih besar untuk Malaysia di pentas dunia,” ujar Izzuddin.
Untuk rekod, kali terakhir beregu lelaki negara merangkul gelaran pada kejohanan bertaraf Super 750 itu adalah menerusi Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada 2010. – UTUSAN











