Gandingan baharu jadikan cabaran Malaysia rumit

Gandingan baharu jadikan cabaran Malaysia rumit

Pearly Tan dan M Thinaah menyesuaikan diri bermain di gelanggang Arena Axiata, Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kehadiran beregu yang dipecah ganding menjadikan laluan wakil negara lebih berliku ekoran ketiadaan data untuk rujukan menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak berkata, situasi tersebut menjadikan cabaran pada kejohanan berstatus Super 1,000 itu jauh lebih rumit dan sukar untuk membuat analisis kekuatan lawan.

“Saya katakan ia rumit sebab mereka bukan beregu baharu tetapi gandingan baharu (yang dipecah ganding), jadi, sekarang kita terpaksa bermula semula sekali lagi.

“Bagi saya ini satu persekitaran yang baharu untuk saingan beregu wanita pada Terbuka Malaysia kali ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi ujian gelanggang di Axiata Arena, semalam.

Pada Terbuka Malaysia kali ini, terdapat empat beregu wanita yang bertukar pasangan iaitu Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti, Misaki Matsumoto-Chiharu Shida, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dan Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong.

Kebimbangan Rosman itu berasas kerana beregu bimbingannya, Pearly Tan-M. Thinaah pernah menjadi mangsa kejutan Fukushima-Matsumoto yang menewaskan gandingan No. 1 negara itu di pusingan pertama pada Jepun Masters, November lalu.

Mengulas mengenai sasaran, Rosman berkata, beliau mahu melihat sekurang-kurangnya Pearly-Thinaah mara sehingga ke separuh akhir.

“Sudah tentu hendak lepaskan pusingan pertama dan kedua memang sangat mencabar, harap mereka boleh mempamerkan prestasi yang baik untuk mencapai setinggi mana yang boleh,” katanya.

Katanya, beliau juga sedang berusaha untuk memperbaiki keadaan fizikal Pearly-Thinaah dan Terbuka Malaysia bakal menjadi medan bagi menguji kekuatan tersebut.

Selain Pearly-Thinaah, Malaysia turut mempunyai wakil Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, Ong Xin Yee-Carmen Ting dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien.

Rosman berkata, Xin Yee-Carmen merupakan beregu remaja yang melakukan penampilan sulung pada Terbuka Malaysia dan peluang beraksi pada kejohanan sebesar Terbuka Malaysia harap dapat membantu meningkatkan permainan mereka.

“Mereka hanya berusia 18 tahun, kita tidak letakkan sebarang sasaran, secara logik standard mereka belum berada di tahap sebenar, tetapi saya mahu mereka raih pengalaman sebanyak mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN