Falsafah Taoisme untuk kesejahteraan hidup manusia

Falsafah Taoisme untuk kesejahteraan hidup manusia

BUKU Titis Madu Taoisme memberi asas kukuh untuk berusaha membina Bangsa Malaysia beradab, berbudaya dan mampu mencapai kemajuan tanpa menimbulkan unsur negatif yang menggugat keharmonian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAOISME sebagai salah satu aliran falsafah yang berusia ribuan tahun memberi pengaruh besar kepada pemikiran dan kehidupan masyarakat di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Kitab Tao Te Ching atau Dao De Jing oleh Lao Zi (Lao Tze) mengandungi ajaran-ajaran yang mendalam serta menyeluruh mengenai keseimbangan, kebijaksanaan dan keharmonian alam semesta.

Pada pandangan saya, kitab ini penting dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, terutamanya dalam usaha membina sebuah bangsa yang maju, beradab dan berbudaya serta mampu mengekalkan tradisi tanpa menimbulkan sebarang unsur negatif.

Maka, apabila Koh Yok Hwa, Pengarah Urusan Gemilang Publishing Sdn. Bhd, memaklumkan beliau akan menerbitkan terjemahan buku ajaran Taoisme yang diusahakan oleh Dr. Lai Choy, saya amat teruja.

Apabila saya diberi pula peluang membaca manuskrip asal Titis Madu Taoisme, saya menganggap peluang itu sebagai suatu penghormatan besar.

Lai Choy seorang pengkaji dan pengkamus yang prolifik. Bukunya sebelum ini berjudul Kepingan Mozek (2016) dan Ada Padang Ada Belalang (2024). Tesis sarjana muda (1978), sarjana sastera (2011) dan kedoktoran (2017) juga diterbitkan dalam bentuk buku.

Terkini, warga emas ini yang lahir pada 1941 mengambil langkah yang amat bermakna dengan menghasilkan Titis Madu Taoisme bagi menghuraikan sepenuhnya falsafah Taoisme dengan mudah dan lengkap.

Usaha gigih ini sangat penting kerana ia membuka ruang bagi masyarakat Malaysia, terutamanya generasi muda, untuk memahami falsafah Taoisme yang tidak hanya terhad kepada satu kaum atau agama, tetapi juga relevan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang budaya atau agama.

Apa yang dilakukan Lai Choy dengan penuh gigih dan dedikasi adalah langkah yang sangat wajar dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan agama, yang mana pemahaman terhadap falsafah-falsafah luar dapat memperkaya nilai budaya dan pemikiran rakyat.
Salah satu ajaran utama dalam Taoisme yang berpeluang saya dalami menerusi tulisan Lai Choy adalah konsep Wu Wei.

Dalam konteks Bangsa Malaysia yang semakin maju, dengan tekanan hidup, persaingan ekonomi dan tuntutan masa sering kali mengundang tekanan serta ketegangan, ajaran ini dapat memberi panduan tentang bagaimana kita dapat hidup dengan lebih tenang dan harmoni.

Konsep Wu Wei mengajar kita supaya tidak terburu-buru dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan. Sebaliknya, perlu mendekati masalah dengan kebijaksanaan dan kesederhanaan. Penerangan Lai Choy dalam buku ini sangat menarik dan mudah difahami.

HARMONI
Taoisme juga menekankan pentingnya keharmonian antara manusia dengan alam serta antara individu dengan masyarakat.

Ajaran falsafah yang ringkas tetapi amat mendalam ini memupuk rasa hormat dan saling bergantung antara satu sama lain, serta menekankan kesejahteraan individu hanya dapat dicapai apabila ada keharmonian dalam masyarakat.

Falsafah Taoisme memberikan asas untuk memperkukuhkan perpaduan. Konsep menghormati perbezaan, meraikan kepelbagaian, memahami dan menerima setiap lapisan masyarakat adalah nilai sangat penting dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu dan maju.

Pada pengamatan saya menerusi Titis Madu Taoisme, falsafah China itu mengajak manusia untuk hidup dalam keharmonian, bukan sahaja dengan diri sendiri, tetapi juga dengan orang lain.

Falsafah hidup ini adalah sesuatu yang sangat relevan dalam membina sebuah negara harmoni seperti Malaysia.

Lao Zi juga mengingatkan tentang pentingnya menghargai tradisi dan kebijaksanaan yang telah diwarisi zaman-berzaman. Dalam konteks Malaysia, ajaran ini mengingatkan kita supaya tidak melupakan akar budaya walaupun kita bergerak maju ke hadapan.

Tradisi adalah pelindung kepada identiti dan jati diri. Ia membentuk asas yang kukuh untuk kita kekal berhubung dengan generasi terdahulu dan akan datang.

Dengan menghargai tradisi yang berbeza-beza di Malaysia, kita dapat membina sebuah Bangsa Malaysia yang lebih inklusif, yang tidak hanya memandang kepada kemajuan material tetapi juga kepada pemeliharaan budaya yang kaya.

Hasil penelitian teks yang diterjemah dan dimurnikan oleh Lai Choy, saya mendapati Taoisme mengajar kita supaya tidak terlalu terikat kepada perubahan yang terlalu drastik, sebaliknya bertenang serta mencari keseimbangan antara kemajuan dan pelestarian warisan.

Nah! Bukankah falsafah Taoisme daripada ribuan tahun dahulu sangat cocok dengan hidup masyarakat pelbagai kaum, agama, budaya dan tradisi di Malaysia?

Falsafah Taoisme menekankan kekuatan yang sebenar datang daripada kelembutan serta kebijaksanaan, bukan daripada kekerasan dan paksaan.

Dalam konteks Malaysia, ini adalah satu ajaran yang sangat penting. Lao Zi menegaskan bahawa kemajuan sebenar adalah kemajuan yang tidak menimbulkan kerosakan kepada masyarakat, alam sekitar, atau nilai-nilai kemanusiaan.

Dengan mengamalkan falsafah Taoisme, kita dapat membina sebuah negara yang maju dari segi ekonomi dan teknologi, namun pada masa sama tidak mengorbankan kemanusiaan, keharmonian dan kebajikan rakyat pelbagai kaum.

Sebagaimana dihuraikan dan diterangkan dengan jelas dalam buku ini, Taoisme menyajikan sebuah model pembangunan seimbang yang mana kemajuan dan kebijaksanaan berjalan seiring.

Saya yakin falsafah Taoisme yang diasaskan dalam senario sosiopolitik China pada sekitar tahun 450 sebelum Masehi masih mampu memberi kita panduan untuk hidup secara harmoni, menghargai tradisi dan bergerak maju pada hari ini tanpa perlu meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

Dalam konteks negara kita yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan agama, buku Titis Madu Taoisme memberi kita satu lagi asas kukuh untuk berusaha membina Bangsa Malaysia yang beradab, berbudaya dan mampu mencapai kemajuan tanpa menimbulkan unsur negatif yang menggugat keharmonian.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×