BOIKOT bukanlah sekadar tindakan ekonomi. Ia adalah cerminan suara hati masyarakat yang ingin melawan kezaliman dengan cara yang damai tetapi berkesan.
Mengikut sejarah, tindakan boikot terus menjadi alat perubahan yang kuat. Dalam konteks umat Islam, ia adalah sebuah bentuk jihad ekonomi yang menyeru solidariti dan tanggungjawab bersama.
Boikot bukan hanya tentang menghentikan pembelian produk atau perkhidmatan. Ia adalah cara untuk menghantar mesej tegas kepada syarikat dan entiti yang menyokong kezaliman bahawa masyarakat tidak akan berkompromi dengan ketidakadilan.
Dalam Islam, boikot dianggap sebagai salah satu bentuk jihad menggunakan harta yang bertujuan menegakkan keadilan dan membantu mereka yang dizalimi.
Namun, pelaksanaan boikot perlu dilakukan dengan berhikmah. Ia bukan sekadar reaksi spontan tetapi memerlukan pertimbangan mendalam agar tidak mendatangkan mudarat lebih besar kepada masyarakat, khususnya kepada golongan yang tidak bersalah.
SEJARAH BOIKOT DALAM ISLAM
Salah satu kisah yang masyhur ialah tindakan Thumamah bin Uthal, seorang pemimpin Bani Hanifah. Selepas memeluk Islam, beliau menyekat bekalan makanan ke Mekah sebagai tindak balas terhadap penindasan kaum Quraisy terhadap umat Islam. Kesannya begitu besar sehingga penduduk Quraisy terpaksa memohon kepada Rasulullah SAW untuk menghentikan boikot tersebut.
Dengan arahan Rasulullah, Thumamah mematuhi permintaan itu, menunjukkan boikot harus diimbangi dengan kebijaksanaan dan maslahat.
Pada Disember 2024, Pengerusi Majlis Hal Ehwal Kebangsaan Islam, Datuk Nooh Gadot mengeluarkan resolusi keperluan boikot namun wajib dilakukan kepada sasaran yang betul dan wajib meneliti. Antaranya disebutkan :
“Tindakan memboikot syarikat atau entiti perniagaan yang mempunyai kepentingan dan terlibat dengan rejim Israel hendaklah dilakukan berpandukan kepada beberapa parameter yang telah digariskan, antaranya:
“Dalam melaksanakan boikot, sikap tabayyun iaitu pencerahan, penerangan dan penjelasan berkaitan hak dan batil mengikut fakta sebenar amat diperlukan bagi memastikan syarikat atau produk yang ingin diboikot benar-benar terlibat dengan Israel. Ini bagi mengelakkan berlakunya kezaliman terhadap pihak yang tidak bersalah.
“Boikot hendaklah dilaksanakan secara beriman, bijak, berilmu, berhikmah, beretika dan tidak bertindak secara ekstrem, melulu, melampau atau keterlaluan.“
LANGKAH BIJAK
Melaksanakan boikot tanpa perancangan dan pengetahuan boleh membawa lebih banyak kemudaratan. Dalam zaman media sosial dan tular ini, terkadang kempen boikot yang dijalan hanya berpandukan emosi dan sentimen, bukan berasaskan fakta.
Ini lebih banyak mendatangkan mudarat daripada kebaikan. Objektif sebenar pun tidak tercapai.
Sebagai contoh, terdapat kekeliruan dalam menyasarkan syarikat francais tempatan seperti McDonald’s Malaysia, yang yang dijalankan oleh syarikat Muslim 100 peratus iaitu Gerbang Alaf Sdn. Bhd. Demikian juga beberapa syarikat lainnya yang sebenarnya tidak menyokong Israel tetapi turut terjejas akibat kempen boikot tanpa sasaran yang tepat. Ini boleh menyebabkan syarikat Muslim, pekerjanya dan rantaian pembekal kehilangan sumber pendapatan.
Dalam Islam, tindakan boikot mesti menimbang antara maslahah (manfaat) dan mafsadah (kemudaratan). Prinsip ini berpandukan kaedah mengelak kemudaratan lebih utama daripada mendapatkan manfaat.
Oleh itu, langkah boikot perlu dilakukan dengan berhati-hati dan berdasarkan fakta yang kukuh.
Boikot yang paling efektif ialah yang ditetapkan pemerintah berdasarkan data dan pertimbangan menyeluruh. Dalam konteks ini, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) memberi panduan namun tidak memberikan nama syarikat secara spesifik serta menyerahkan kepada individu untuk menjalankan kajian bagi mengelakkan berlakunya zalim ke atas syarikat yang tidak bersalah.
Antara panduan yang wajib diambil tahu agar tidak tersilap zalimi sasaran dengan memastikan syarikat itu:
– Terlibat dalam aktiviti penjajahan seperti membekalkan perkakas komputer dan menjaga pusat-pusat data atau mengendalikan sistem yang membentuk tulang belakang pengasingan kaum dan Israel.
– Terlibat membekalkan jentera dan peralatan kepada Israel untuk menceroboh dan memusnahkan kawasan perumahan, ladang, harta benda dan nyawa penduduk Palesti.
– Terlibat dalam pembinaan, penempatan dan kemudahan-kemudahan lain kepada Israel di tanah Palestin yang diceroboh.
– Mengadakan pembiayaan kewangan kepada Israel dalam membangunkan tanah Palestin yang diceroboh.
– Terlibat pelanggaran hak asasi manusia dan melakukan seksaan serta amalan-amalan lain yang bercanggah dengan undang-undang mahupun kemanusiaan.
– Terlibat menjadi penaja kepada aktiviti propaganda, sukan, filem, media sosial dan lain-lain aktiviti anjuran Israel.
Jika tidak pasti, maka boikot tidak sahih dilaksanakan. Selain itu mestilah ia dilakukan dengan beretika iaitu hindari tindakan ekstrem seperti mencela pekerja syarikat, merosakkan harta benda atau menyebarkan aib individu. Boikot mesti dilaksanakan dengan adab dan akhlak.
BOIKOT PERNIAGAAN BAYAR ROYALITI KE SYARIKAT AMERIKA SYARIKAT (AS)?
Ini asas yang sangat tidak tepat, kerana bayaran sekadar royalti atas sebab akad dan manfaat jenama, sistem, menu, resepi, mesin, kaedah operasi adalah suatu bentuk akad jual beli yang sahih dalam Islam, walaupun penjualnya adalah bukan Islam. Antara hujahnya :
– Rasulullah bertransaksi dengan para sahabatnya dari kalangan penduduk Mekah sebelum Hijrah, malah juga dengan sebahagian puak-puak kafir. Tidak pernah mendengar sebarang tegahan baginda untuk berurusan dengan mereka, padahal kebanyakan harta adalah dari sumber haram dan terdapat kemungkinan besar akan menggunakannya untuk tujuan yang haram juga.
– Telah sabit Rasulullah pernah berurusan kewangan dengan rombongan ke Madinah dari kalangan arab badwi yang syirik tatkala itu. Sudah tentu harta mereka dipenuhi segala jenis hasil zalim dan haram.
– Semasa Nabi SAW berhijrah, baginda berurusan dengan orang Yahudi dari kalangan penduduk Madinah dan arab-arab Badawi yang menghalalkan perkara-perkara haram dalam Islam. Jika berurusan dengan mereka adalah haram, sudah tentu baginda akan menegahnya dari awal lagi.
Malah royalti itu masuk ke kantung syarikat pusat dan bukannya ke Israel. Syarikat hanya bayar sedikit cukai berbanding berbanding syarikat AS yang dimiliki penuh oleh induk. Bukankah lebih tepat boikot mereka itu jika ingin dilakukan atas dasar royalti, maka kaedah ini tertolak.
Dalam semangat melaksanakan boikot, kadangkala terdapat tindakan kurang berhikmah, seperti menyasarkan syarikat francais milik warga tempatan yang tidak terlibat langsung dalam menyokong Israel. Sebaliknya, syarikat ini menyumbang kepada tabung bantuan Palestin, membayar zakat dengan jumlah besar dan memberi pekerjaan kepada beribu orang Islam. Oleh itu, penting untuk melakukan kajian mendalam sebelum melancarkan sebarang kempen boikot.-UTUSAN
PENULIS ialah Ahli Lembaga Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).










