PETALING JAYA: Pasukan hoki wanita remaja kebangsaan memerlukan strategi dan perancangan yang berkesan bagi menyekat juara bertahan, India pada aksi kedua Kumpulan B Piala Remaja Asia Wanita 2024 di Muscat, Oman, malam ini.
India turun selaku pasukan keenam terbaik dunia yang turut dibarisi pemain senior sekali gus menjadikan mereka memiliki kelebihan berbanding Young Tigress.
Bagaimanapun, Young Tigress yang dipimpin Lailin Abu Hassan menggesa anak-anak buahnya menajamkan permainan selepas hanya menyempurnakan tiga daripada 11 pukulan sudut penalti pada aksi menentang Thailand, kelmarin.
“Saya harap mereka fokus untuk perlawanan hari ini. Bagi esok (semalam) kami ada hari rehat dan merancang untuk mengadakan latihan dan membuat video analisis untuk perlawanan menentang India.
“Kita tahu India merupakan pasukan kuat dalam kejohanan ini. Jadi kita harus bersiap sedia dan membuat pelan terperinci untuk menangkis segala serangan India.
“Saya dan barisan kejurulatihan akan memastikan pasukan kebangsaan kita bermain mengikut perancangan yang ditetapkan apabila kita menentang India nanti,” kata Lailin.
Kelmarin, Young Tigress membuka kempen Piala Remaja Asia Wanita 2024 dengan bergaya selepas menumpaskan Thailand 3-0 di Stadium Hoki Oman, Muscat.
Untuk rekod, Malaysia yang menghuni ranking No. 17 dunia tewas dua kali kepada India edisi sebelum ini apabila dibelasah 9-1 pada 2015 di Changzhou, China serta kalah 2-1 tahun lalu di Kakamigahara, Jepun. – UTUSAN










