Vietnam halangan terbesar Malaysia 

Vietnam halangan terbesar Malaysia 

DOMINIC TAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan Harimau Malaya, Dominic Tan menganggap Vietnam sebagai halangan terbesar untuk Malaysia melayakkan diri ke pentas Piala Asia dua kali berturut-turut pada edisi 2027 nanti.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata, setiap perlawanan antarabangsa adalah sukar dan sudah tentu pasukan mahu berikan yang terbaik pada semua perlawanan kelayakan yang bakal diharungi bermula Mac depan.

“Sudah tentu semua aksi antarabangsa bukanlah perlawanan yang mudah terutama Vietnam yang dianggap sebagai salah satu kuasa besar bola sepak di rantau Asia.

“Ini adalah cabaran buat semua pemain yang akan membawa misi besar untuk tampil cemerlang sepanjang proses kelayakan nanti,” kata kapten Harimau Malaya untuk saingan Piala ASEAN 2024 itu.

Terdahulu, Malaysia diundi dalam Kumpulan F untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 bersama-sama seteru tradisi Vietnam selaku pasukan pilihan selain Nepal dan juga satu lagi wakil Asia Tenggara, Laos.

Sementara itu, pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente turut mendoakan kejayaan Harimau Malaya meskipun tidak lagi bersama pasukan apabila kontraknya tamat selepas kejohanan Piala Asean 2024 bulan ini.

“Saya sudah cakap banyak kali sebelum ini pasukan ini bukan baru dibentuk sebaliknya mereka semakin berkembang dan menunjukkan peningkatan.

“Semua pemain sudah mencapai tahap kematangan selepas hampir empat tahun bersama dan saya rasa mereka ada potensi untuk layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut nanti,” katanya.

Sebagai rekod, skuad negara sebelum ini terpaksa menunggu lebih 43 tahun untuk layak ke pentas Piala Asia apabila berjaya bersaing pada kejohanan berprestij di Qatar pada edisi 2023 yang lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN