VAR punca Selangor tersingkir - Kinoshi 

VAR punca Selangor tersingkir – Kinoshi 

Pemain Sri Pahang, Muhammad Syazwan Andik Mohd. Ishak (kiri) cuba merampas bola daripada pemain Selangor FC, Alvin Fortes dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali baharu Selangor FC (SFC), Katsuhito Kinoshi menyifatkan kekalahan pada Sri Pahang dan gagal mara ke suku akhir Piala Malaysia 2024 berpunca daripada Video Bantuan Pengadil (VAR).

Bagaimanapun, beliau mengakui teknologi itu adalah sebahagian daripada bola sepak pada era ini bagi membantu pengadil membuat keputusan.

“Kita tidak bernasib baik apabila tewas dengan dua gol pada malam ini (kelmarin) kerana Video Bantuan Pengadil (VAR).

“Tetapi VAR adalah sebahagian daripada bola sepak jadi saya tidak boleh katakan apa-apa mengenai pengadil,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan, kelmarin.

Di sebalik dua kekalahan berturut-turut di laman sendiri dalam dua pertandingan berbeza di Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan pusingan 16 Piala Malaysia, Kinoshi melihat ia sebagai satu proses pembelajaran buat dirinya dan juga pasukan bagi memperbaiki prestasi pasukan ke tahap yang lebih baik.

Dalam masa sama, beliau turut memuji semangat juang ditunjukkan para pemain ketika tewas 1-2 kepada Sri Pahang pada aksi kedua peringkat 16 Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

“Sudah tentu kita tahu yang kita berdepan jadual yang padat tetapi kita melakukan persiapan yang baik bagi menghadapi dua perlawanan ini.

“Apa yang boleh kita lakukan adalah kita belajar daripada dua perlawanan ini dan cuba tampil berbeza pada aksi seterusnya menentang Cebu FC.

“Sayangnya saya tidak dapat menghadiahkan kemenangan dalam dua perlawanan berturut-turut kepada penyokong tetapi ini bukanlah satu perkara yang mengecewakan. Kita akan fokus pada perlawanan seterusnya dan saya gembira melihat pemain berjuang untuk mendapatkan gol sehingga hujung permainan,” kata Kinoshi.

Selangor FC jelas berdepan situasi sukar ketika ini apabila tewas dua perlawanan berturut-turut bermula dengan kekalahan 1-2 di tangan Muangthong menyaksikan laluan mereka ke pusingan kalah mati ACL2 semakin sukar sebelum mereka gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia apabila disingkirkan Sri Pahang 2-3 secara agregat.

Dalam perkembangan sama, pengendali dari Jepun itu menyifatkan dia sudah memahami barisan pemainnya dengan lebih mendalam walaupun baru seminggu menyertai pasukan itu sejak minggu lalu.

“Saya sudah faham pemain saya dan mereka sebenarnya lebih (baik) daripada jangkaan saya sebelum saya tiba ke sini. Saya faham karakter, kecergasan, taktikal dan juga personaliti mereka tetapi baru seminggu saya bersama pasukan ini.

“Saya harapkan penyokong dapat terus memberi sokongan kepada pasukan kerana sudah pasti kami akan bangkit memberikan persembahan lebih baik selepas ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN