Tokoh korporat sedia rebut kerusi No. 1 FAM 

Tokoh korporat sedia rebut kerusi No. 1 FAM 

Shahril Mokhtar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, beliau akan membuat pertimbangan terlebih dahulu berkenaan hasrat itu sekiranya terdapat ahli gabungan badan induk bola sepak negara memberi kepercayaan kepada dirinya untuk merebut kerusi No. 1 FAM. 

Jelasnya, sebarang keputusan diambil kelak akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan barisan Exco.

“Sekiranya ada ahli gabungan yang merasakan saya layak untuk bertanding, Insya-Allah saya akan pertimbangkan.

“Namun, sebelum apa saja keputusan yang dibuat saya harus berbincang bersama Tuanku Raja Muda Selangor selaku Presiden FAS dan juga barisan Exco untuk mendapatkan nasihat dan juga bimbingan,” kata Shahril kepada Utusan Malaysia, semalam.

Shahril memiliki Ijazah Kedoktoran Falsafah (PhD) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam jurusan Sains Politik dan berpengalaman lebih 25 tahun dalam sektor korporat, antaranya pembinaan infrastruktur, penstrukturan perniagaan, penggabungan dan pengambil alihan serta industri pengangkutan.

Antara jawatan berprofil tinggi yang pernah disandangnya ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp, Ketua Pegawai Operasi (COO) Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Pengurus Besar, Perancangan Korporat RapidKL dan Pengurus Besar, Khidmat Korporat Penerbangan Malaysia.

Perebutan jawatan Presiden FAM dijangka berlangsung sengit selepas Tan Sri Hamidin Mohd Amin pada sidang media, kelmarin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu bagi penggal yang akan datang.

Kongres pemilihan barisan kepimpinan baharu FAM bagi penggal 2025-2029 akan berlangsung pada 15 Februari tahun depan.

Terdahulu, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan bahawa ada dua calon yang bakal merebut jawatan presiden iaitu Shahril dan juga nama Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menggantikan tempat Hamidin yang memimpin FAM sejak 2018.

Berdasarkan laporan media sebelum ini yang memetik sumber mendakwa nama Joehari dicadangkan dalam satu pertemuan tertutup bersama beberapa ahli gabungan.

Bagaimanapun, cadangan itu dikatakan belum mendapat kata putus dan masih belum pasti sama ada nama Joehari akan dicalonkan atau sebaliknya.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapat kenyataan Joehari tidak berjaya selepas beliau memilih untuk mengunci mulut.

Mana-mana individu yang berminat untuk bertanding sebagai Presiden FAM perlu mendapat minimum enam pencalonan dan nama perlu dihantar sekurang-kurangnya 45 hari sebelum kongres pemilihan berlangsung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN