Tindakan gantung beri kesan kelab gabungan Perlis FA 

Tindakan gantung beri kesan kelab gabungan Perlis FA 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) memfailkan saman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan tindakan badan induk itu menggantung persatuan tersebut yang didakwa memberi kesan kepada kelab-kelab di bawahnya bertanding dalam Liga Malaysia musim depan.

Fail saman tersebut dikemukakan oleh PFA, Jumaat lalu membabitkan 20 defendan iaitu semua 19 barisan jawatankuasa FAM termasuk Presidennya, Tan Sri Hamidin Mohd Amin serta Pesuruhjaya Sukan.

Serentak dengan itu juga, PFA memohon kepada mahkamah agar melantik Pesuruhjaya Sukan sebagai pentadbir interim FAM sehingga kes berkenaan selesai.

PFA juga memohon agar mahkamah menangguhkan sementara pemilihan jawatankuasa eksekutif dalam Mesyuarat Kongres FAM sehingga kes tersebut selesai.

Presiden PFA, Zamri Ibrahim berkata, tindakan saman tersebut diambil selepas PFA menyifatkan berlaku ketidakadilan dalam tindakan penggantungan itu apabila FAM langsung tidak mendengar penjelasan daripada pihak persatuan sebaliknya terus bertindak.

Beliau berkata, FAM sepatutnya mendengar dahulu penjelasan sebelum bertindak.

Ujarnya, apabila tindakan gantung itu diambil, ia memberi kesan dan masalah khususnya kepada kelab-kelab di bawah gabungan persatuan berkenaan yang tidak dapat bertanding dalam Liga Malaysia musim depan.

“Antaranya seperti kelab Guar Syed Alwi (GSA) yang cemerlang muncul juara Liga A2 Amateur Al-Iksan Cup 2024 baru-baru ini juga tidak boleh bermain musim depan. Begitu juga pasukan Singa Muda Perlis.

“Sebanyak 10 kelab berada di bawah gabungan PFA ketika ini akan menerima kesan dan mendatangkan masalah kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada 4 Disember lalu, FAM menggantung PFA sebagai ahli gabungannya susulan kegagalan mematuhi arahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk membayar gaji tertunggak dan pampasan kontrak yang dituntut oleh bekas Pengarah Bola Sepak PFA, Matt Holland.

Penggantungan tersebut juga berkuat kuasa sehingga PFA membuat pembayaran penuh seperti yang diarahkan oleh FIFA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN