Siapa pilihan Harimau Malaya? 

Siapa pilihan Harimau Malaya? 

Skuad Harimau Malaya dijangka mengalami perubahan ekoran penstrukturan semula tenaga kejurulatihan pasukan berkenaan. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perubahan besar dapat disaksikan dalam barisan kejurulatihan skuad kebangsaan dengan difahamkan unit khas Harimau Malaya kini sibuk untuk memuktamadkan siapa pengendali baharu bagi menggantikan Pau Marti Vicente

Pengunduran barisan ketua jurulatih skuad kebangsaan yang diketuai Pau Marti memberi isyarat jelas bahawa akan berlaku perubahan besar dalam pasukan Harimau Malaya selepas ini dan rata-rata peminat tidak sabar menanti khabar gembira.

Di media sosial ketika ini, nama bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menjadi sebutan hangat untuk kembali ke Malaysia dengan menggalas tanggungjawab lebih besar mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Siapa dan jurulatih dari mana pun yang bakal mengisi kekosongan itu, tugasan pertama yang bakal diharungi bukan biasa-biasa kerana bakal membawa Harimau Malaya mendepani cabaran dalam Kelayakan Piala Asia 2027.

Selain Solari, turut dikaitkan dengan tugasan di kem Harimau Malaya ialah seorang lagi bekas pengendali JDT, Benjamin Mora, namun ia nampak mustahil kerana jurulatih itu kini dikaitkan dengan tugasan bersama kelab Mexico, Queretaro FC.

Sekiranya benar, Solari atau Mora yang membimbing Harimau Malaya, peminat bola sepak tempat bakal menyaksikan perubahan daripada DNA Korea Selatan (Kim Pan Gon), Sepanyol (Pau Marti) kepada Amerika Selatan (Solari, Mora).

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, beliau tidak kisah jurulatih yang mana sekali pun membimbing Harimau Malaya, namun petunjuk prestasi utama (KPI) mesti jelas membawa kemajuan kepada pasukan.

“Saya tidak memihak kepada sesiapa, mana-mana individu yang dilantik wajib lakukan pembaharuan. Apa yang penting rakyat Malaysia mahu melihat bola sepak negara maju ke depan dan tidak lagi ketinggalan.

“Dalam bola sepak semua orang mahu lihat dan bercakap soal DNA. Harimau Malaya dahulu Korea Selatan semasa era Kim Pan Gon dan selepas itu Pau Marti dari Sepanyol, selepas ini kita tidak tahu jurulatih dari mana.

“Bagaimanapun, saya mahu ingatkan, apa yang penting ialah pembangunan akar umbi. Jika akar umbi tidak tahu hujung pangkal, datanglah DNA dari mana pun, ia tidak akan membantu. Jadi kita kena kukuhkan pembangunan dahulu,” katanya.

Untuk rekod, Mora tidak asing lagi dengan bola sepak Malaysia selepas bersama Harimau Selatan antara tahun 2015 hingga 2022 manakala Solari membawa pasukan itu menjulang piala Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih musim lalu.

Semua spekulasi itu masih belum terjawab dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga masih berahsia mengenai struktur baharu skuad kebangsaan dengan majlis khas bakal diadakan pada 15 Disember ini. 

Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin turut meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi daripada badan induk itu yang akan dibuat dalam masa terdekat.

“FAM akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat, maksudnya dalam bulan ini juga. Kita sedang memuktamadkan sedikit lagi, nanti kita akan umumkan struktur baharu itu,” kata Hamidin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN