KEMAMAN: Nasib lima nelayan tradisional di Pantai Kemasik, di sini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga kerana bukan sahaja tidak dapat turun ke laut, malah turut berdepan kerugian kira-kira RM150,000 selepas bot gentian kaca karam dan hilang dihanyut arus banjir.
Dalam kejadian kelmarin pada kira-kira pukul 7 pagi, bot-bot yang diparkir di jeti berhampiran Sungai Kemasik dihanyutkan arus deras ekoran kenaikan paras sungai selepas hujan lebat dan air pasang besar.
Kejadian itu menyebabkan ada bot hilang dan gagal dikesan.
Nelayan, Ismail Mat Nor, 67, bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan rakan-rakannya.
Namun arus deras membawa bersama satu-satunya bot yang digunakan untuk mencari rezeki.
“Bot itu ditemukan penduduk berhampiran kawasan Pantai Awana, Kijal kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian dan dalam keadaan rosak.
“Enjin bot dan peralatan menangkap ikan semuanya hanyut. Bot pula banyak kerosakan. Pak cik tidak tahu macam mana nak baiki bot sebab tak mampu. Lagipun, bot itu sudah lama pak cik beli, itu pun bot terpakai,” katanya yang menganggarkan kerugian hampirRM20,000.
Nelayan, Mohd. Khizran Ibrahim, 53, memberitahu yang bot miliknya hanyut ke laut dan tidak ditemukan hingga kini. – UTUSAN










