Mickey sudah 'kembali', capai tahap 80 peratus

Mickey sudah ‘kembali’, capai tahap 80 peratus

FAISAL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC (SFC), Datuk Seri Shahril Mokhtar  menjadi individu paling gembira dan bangga melihat aksi bertenaga diperagakan Faisal Halim ketika Selangor FC berdepan Muangthong United pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), Khamis lalu.

Apa tidaknya, Shahril menjadi individu paling rapat dan dekat dengan Faisal yang turut dikenali sebagai Mickey sejak tonggak Harimau Malaya itu menjadi mangsa serangan asid pada Mei yang hampir memusnahkan kariernya.

Beliau mengakui Faisal memiliki semangat juang cukup tinggi dan pemain berusia 26 tahun itu akan kembali kepada prestasi sebenarnya dalam masa terdekat.

Katanya, selepas perlawanan menentang Muangthong di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya itu, Shahril sempat berbual dengan Mickey dan mengucapkan perasaan bangga melihat persembahan dia pada malam itu.

“Sangat gembira, bangga dan terharu melihat persembahan Mickey pada malam itu, Boleh dikatakan dia hampir sampai ke tahap sebelum kejadian itu (simbah asid) berlaku.

“Keyakinan, keberanian dan tidak teragak-agak menunjukkan Mickey yang kita pernah saksikan dan rindukan pada ketika dahulu. Kemasukan dia juga memberi impak kepada pasukan dan saya harap pada perlawanan menentang Sri Pahang nanti dia akan diletakkan dalam kesebelasan utama.

“Semalam lepas perlawanan saya ada jumpa dia, bila saya puji macam biasa semua tahu dia seorang yang rendah diri. Dia beritahu saya masih jauh tetapi anda (penyokong) dapat melihat bagaimana cara dia bermain sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Pada perlawanan itu, walaupun Selangor FC menguasai permainan namun kegagalan jentera serangan menyudahkan peluang menyaksikan mereka tewas 1-2 kepada Muangthong.

Sementara itu, Shahril yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor(FAS) berkata, daripada pemerhatiannya, Faisal sudah mencapai hampir 80 peratus untuk mencapai tahap permainan sebelum ini.

“Ikut perkembangan dan pengamatan saya, dia sudah capai 75 hingga 80 peratus daripada prestasi dia sebelum ini. Saya percaya sebulan dua lagi dia akan kembali seperti dulu atau lebih baik,” jelasnya.

Pada 5 Mei lalu, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali dan sehingga kini pelaku masih bebas.

Susulan itu, dia terpaksa menjalani beberapa pembedahan sehingga menyebabkan Faisal terpaksa berehat sebelum kembali semula ke padang Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN