PETALING JAYA: Di tengah desas-desus yang kian hangat mengenai pencarian ketua jurulatih beregu lelaki oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bekas jaguh badminton Denmark, Mathias Boe, tampil memberikan penjelasan.
Spekulasi tercetus apabila difahamkan BAM berminat mendapatkan bekas jurulatih India itu untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengganti Tan Bin Shen, yang akan melepaskan jawatan pada 13 Januari depan.
Nama Mathias disebut-sebut sebagai calon ideal untuk memperkukuhkan prestasi beregu lelaki Malaysia, menurut khabar angin yang semakin meluas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mathias dengan tenang menepis segala telahan, menyatakan bahawa tiada perbincangan atau rundingan rasmi yang berlaku antara dirinya dan BAM.
“Memang benar, BAM tidak menghubungi atau memberi tawaran kepada saya berkenaan jawatan itu,” kata Mathias kepada Utusan Malaysia.
Kenyataan Mathias itu menutup spekulasi liar yang selama ini berlegar, sekali gus membayangkan bahawa BAM tidak mempunyai minat untuk mendapatkan khidmatnya dalam kem kebangsaan.
Jurulatih berusia 40 tahun itu terkenal dengan kepakaran dan pengalamannya, khususnya dalam membimbing pasangan beregu lelaki India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy, yang pernah menduduki ranking No. 1 dunia.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik London 2012 itu berjaya membawa Chirag-Satwiksairaj menjuarai Sukan Komanwel Birmingham, Terbuka India, Piala Thomas, serta meraih pingat gangsa di Kejohanan Dunia pada tahun 2022
Bagaimanapun, Mathias meletakkan jawatannya sebagai jurulatih India pada Ogos lalu, selepas pasangan Chirag-Satwiksairaj gagal membawa pulang pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila tewas kepada beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dalam aksi suku akhir.
Mathias kini dilaporkan tidak lagi berada dalam senarai calon untuk menggantikan Bin Shen, dan BAM dikatakan berkemungkinan mendapatkan khidmat bekas jurulatih Indonesia, Herry Iman Pierngadi, yang baru-baru ini meletakkan jawatan di Persatuan Badminton Indonesia (PBSI). – UTUSAN










