SEREMBAN: Ketua Jurulatih Selangor FC, Kinoshi Katsuhito berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan anak buahnya ketika membenam Negeri Sembilan FC (NSFC), 4-0, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dalam saingan Liga Super kelmarin.
Beliau berkata, tanpa kelibat beberapa pemain yang cedera atau dipanggil untuk pasukan kebangsaan, Selangor FC tetap tampil bergaya menundukkan NSFC dengan jumlah jaringan gol yang memberansangkan.
“Sudah tentu saya sangat puas hati bukan saja pemain yang turun pada malam ini tetapi gabungan keseluruhan pasukan yang gigih memberikan persembahan terbaik.
“Mereka telah berlatih dengan tekun dan mempamerkan permainan seperti yang ditunjukkan dalam sesi latihan,” katanya kepada para pemberita selepas perlawanan.
Gol Selangor dijaringkan oleh Aliff Haiqal Lokman Hakim pada minit ke-15, Alvin Mateus Fortes (m-39), Quentin Cheng Jiun Ho (m-47) dan Yohandry Jose Orozco Cujia (m-60).
Perlawanan itu menyaksikan pemain NSFC, Che Rashid Che Halim dilayangkan kad merah pada minit ke-43 selepas mengasari pemain Selangor FC.
Katsuhito berharap, aura kemenangan itu akan berterusan dalam perlawanan akan datang walaupun pasukan itu mengharungi beberapa siri perlawanan yang memenatkan. – UTUSAN









