KUALA LUMPUR: Jumlah jaringan besar bukan menjadi sasaran Harimau Malaya ketika melayan kunjungan Timor Leste dalam perlawanan kedua Kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.
Sebaliknya, pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente mahu anak-anak buahnya fokus 100 peratus untuk melakar kemenangan dalam misi mengutip tiga mata penuh bagi menghidupkan peluang dalam saingan Kumpulan A.
Biarpun lawan dibelasah 10-0 oleh Thailand dalam perlawanan pertama, Vicente tidak melihat kem kebangsaan akan menyaingi rekod jaringan itu kerana baginya, meraih kemenangan sudah cukup untuk mengutip mata penuh di laman sendiri.
Malah, pengendali dari Sepanyol itu menyifatkan berdepan Timor Leste juga aksi yang penting buat skuad negara memandangkan mereka terlepas peluang terbaik untuk meraih tiga mata selepas terikat 2-2 menentang Kemboja di Manila, Ahad lalu.
“Saya rasa kita tidak boleh fikirkan mengenai berapa banyak gol (boleh dijaringkan Ketika berdepan Timor Leste) tetapi kita kena fikir bagaimana untuk menang dahulu. Kita perlu fokus dengan permainan berintensiti tinggi.
“Tidak kisahlah kita bermain dengan pasukan mana sekalipun, kita kena fikir yang kita boleh menang. Sebab itulah kami menantikan perlawanan di tempat sendiri kerana kita ada kelebihan apabila beraksi di sini.
“Ini perlawanan yang sangat penting, ini bukanlah aksi persahabatan kerana kita perlu mengutip tiga mata untuk membantu kita pergi lebih jauh dalam perlawanan ini,” kata Pau Marti dalam sidang akhbar pra perlawanan di SNBJ, semalam.
Dalam perkembangan sama, Pau Marti mahu anak buahnya memberikan sepenuh tumpuan untuk aksi berdepan Timor Leste terlebih dahulu meskipun ujian sebenar menanti mereka apabila berhadapan Thailand di Bangkok, Sabtu ini.
Justeru, beliau tetap akan menurunkan kelibat barisan pemain terbaik untuk menentang pasukan di ranking ke-196 dunia itu sebelum mengalihkan tumpuan untuk mengatasi Thailand yang juga juara bertahan kejohanan terbesar di Asia Tenggara.
“Kita ada 26 pemain dalam senarai dan kita akan gunakan pemain yang kita fikirkan dapat membantu pasukan ini meraih kemenangan. Semua pemain juga ketika ini bebas daripada sebarang kecederaan.
“Semua pemain kena bersedia dan kita akan membuat penilaian berdasarkan keadaan. Kita perlu selesaikan kerja kita di sini dahulu sebelum melakukan persediaan untuk menentang Thailand Sabtu ini,” katanya. – UTUSAN










