PETALING JAYA: Atlet pelayaran negara, Muhammad Hafizin Mansor mengakui masih bergelut untuk menguasai teknik baharu dalam kelas bot yang disertainya, meskipun berjaya mendapatkan pengalaman berharga daripada penyertaan di beberapa kejohanan baru-baru ini.
Menurut Hafizin, dia menimba banyak pengalaman baharu daripada lawannya ketika menyertai acara Test Event di Thailand dari 19 hingga 23 Disember lalu, namun proses menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut memerlukan masa dan usaha berterusan.

“Saya banyak belajar daripada teknik yang ditunjukkan oleh pesaing di kejohanan Thailand.
“Namun, saya masih cuba menyesuaikan diri dengan teknik-teknik itu untuk memastikan saya lebih kompetitif dalam kelas bot baharu ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Hafizin turut menyasarkan untuk menjadi penyumbang pingat buat Malaysia pada Sukan SEA 2025 di Thailand, dan melihat penyesuaian dengan teknik serta kelas bot baharu sebagai kunci untuk mencapai matlamat tersebut.
“Saya berharap dapat mencapai sasaran untuk menjadi medalist pada Sukan SEA nanti. Latihan intensif dan penyesuaian strategi akan menjadi fokus utama saya dalam persediaan menuju ke sana,” ujarnya.
Selain itu, beliau juga dijangka mengambil bahagian dalam Kejohanan Regatta Perdana Antarabangsa Langkawi Ke-21 pada Februari tahun depan yang merupakan satu lagi platform penting untuk menguji kemampuan dan mengasah kemahiran dalam kelas bot baharu yang disertainya.
“Regatta Perdana akan menjadi peluang terbaik untuk saya menilai sejauh mana penyesuaian saya dengan teknik dan strategi terkini.
“Kejohanan ini adalah medan ujian penting menjelang cabaran lebih besar pada masa akan datang,” tambahnya.
Hafizin yang merupakan pemenang pingat emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja kini giat menjalani latihan intensif, sambil optimis bahawa usaha keras dan dedikasinya mampu membuahkan hasil dalam tempoh terdekat. – UJTUSAN










