TIDAK ramai yang tahu tentang peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), apatah lagi apabila memperkatakan tentang Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC).
Bagaimanapun, selepas sembilan tahun ditubuhkan, MyPAC berjaya melahirkan akauntan bertauliah dan berkualiti terutama dalam kalangan golongan bumiputera.
Paling penting, ia menjadi pemangkin kepada mereka yang kurang berkemampuan terutama bagi golongan berpendapatan rendah (B40) untuk menjadi akauntan berjaya.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC, DATUK ZAITON MOHD. HASSAN bagi mendapatkan penjelasan mengenai kelebihan agensi ini bagi membantu golongan B40 untuk berjaya sebagai akautan. Turut membantu jurufoto SADDAM YUSOF.
PENUBUHAN AWAL MYPAC
Kita bermula sejak 2015 lagi. MyPAC sememangnya agak berlainan dengan institusi yang menyediakan program bagi melahirkan akauntan.
Pada 2014, kami membuat analisa mengapa tidak ramai bumiputera yang mempunyai kelayakan untuk bergelar akauntan bertauliah. Adakah mereka tidak cukup pandai?
Bayangkan negara hanya memiliki seramai 1,550 akauntan profesional bumiputera yang mewakili tujuh peratus daripada jumlah akauntan profesional bertauliah yang mendaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Maka pada 2014, kami menghantar kertas cadangan kepada kerajaan untuk membangunkan MyPAC sebagai pemangkin pertumbuhan akauntan profesional dengan memberi manfaat kepada lebih ramai anak tempatan pada masa depan.
Kami telah lahirkan sehingga 1,110 akauntan bertauliah sejak ditubuhkan. Bagi saya, ini bukti kejayaan kami untuk melahirkan lebih ramai akauntan bumiputera pada masa depan berdasarkan model yang baik dan berkualiti.
TIGA FAKTOR ORANG MELAYU TIDAK RAMAI JADI AKAUNTAN PROFESIONAL
Pertama, tahap kesedaran yang rendah tentang kelayakan ACCA berbanding bangsa lain. Malah, ada yang langsung tidak tahu pun apa itu ACCA.
Faktor kedua ialah kos. Kalau di peringkat antarabangsa jumlahnya lebih mahal dan dikenakan bayaran dalam mata wang pound sterling. Jadi ia bukan mudah.
Dan terakhir, tahap kesukarannya yang tinggi sehingga ramai yang gagal. Jadi, MyPAC ini wujud untuk menangani ketiga-tiga perkara yang saya katakan dan dalam masa yang sama, mahu melahirkan lebih ramai akauntan dalam kalangan bumiputera.
MODEL MyPAC
MyPAC ini model berbeza sedikit berbanding institusi lain di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) atau Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.
Dana bukan datang daripada kerajaan sebaliknya banyak ‘dibiayai’ syarikat korporat kerana mereka juga memerlukan akauntan. Begitu juga bank, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan kumpulan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain.
Beberapa pusat zakat dan syarikat korporat yang akan menaja perbelanjaan pelajar yang sedang belajar dalam pusat latihan perakaunan diiktiraf MyPAC.
Setiap pelajar itu akan dibiayai sepenuhnya melalui pembayaran yuran peperiksaan dan tuisyen, elaun bulanan antara RM700 hingga RM1,000 sebulan, diberi tempat tinggal, malah ada penaja yang menyumbang komputer riba kepada pelajar. Mereka cuma belajar sahaja dan apa yang penting adalah tidak perlu membayar semula duit pembiayaan pelajaran tersebut kerana ia tidak seperti sebagaimana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Kami dalam masa yang sama perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan Badan Penasihat Syariah kerana pembiayaan juga diterima daripada beberapa badan yang menguruskan agihan zakat.
Paling penting, kami memberi tumpuan dan keutamaan kepada anak asnaf atau golongan B40.
‘BAYARAN SEMULA’ YURAN MyPAC DENGAN KAEDAH LAIN
Saya selalu beri nasihat kepada pelajar MyPAC iaitu ‘bayar balik’ dengan dua cara iaitu menjaga ibu bapa sebaik-baiknya dan datang semula sertai MyPAC untuk dua tujuan.
Ini kerana untuk menjadi orang yang berjaya dalam dunia korporat seseorang itu perlu belajar secara berterusan. Tambahan pula profesion akauntan ini tidak statik dan sentiasa berubah-ubah.
Mereka perlu menjalin perhubungan dengan alumni dan membantu pelajar yang sedang dalam pengajian. Inilah apa yang dikatakan sebagai konsep memberi balik. Mereka boleh menjadi mentor dan bantu pelajar di sini.
Saya ingin kongsikan satu kisah di mana ada seorang pelajar yang berjaya menjawat jawatan bagus dan menjadi orang penting kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat serta terlibat dalam projek penting. Ini bukti bahawa apabila kita menanam budi, ada imbuhan daripada Allah SWT kita sendiri tidak nampak.
CARA PERMOHONAN MYPAC BAGI MENDUDUKI PEPERIKSAAN ACCA DAN ICAEW?
Kemasukan dibuat setahun sekali sahaja untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 5A. Subjek Prinsip Akaun bukanlah satu kemestian, tetapi jika mereka mendapat A dalam subjek berkenaan, maka kuranglah satu kertas yang akan diambil dalam pengajian mereka.
Bakal pelajar perlu menduduki ujian dan temuduga. Mereka juga akan dinilai berdasarkan pendapatan keluarga masing masing. Kita juga menerima pelajar lepasan ijazah yang mengambil jurusan perakaunan sahaja.
Pada tahun ini, ada lebih 100 pelajar yang telah diambil dan sedang mengikuti pengajian masing-masing di pusat latihan yang diiktiraf MyPAC. Kebanyakan mereka adalah lepasan ijazah.
Syarikat korporat lebih suka menaja pelajar lepasan ijazah kerana mereka mahu melihat keputusan dalam tempoh singkat iaitu untuk tempoh dua tahun sahaja. Kos pembiayaannya juga agak murah.-UTUSAN










