DSAT mahu tubuh pasukan Darul Aman FC  

DSAT mahu tubuh pasukan baharu Darul Aman FC  

Selain Kedah Darul Aman FC, negeri tersebut dijangka mempunyai sebuah lagi pasukan baharu pada tahun depan. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Selepas tidak berjaya mengambil alih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT, Datuk Seri Azizul Tandek mahu menubuhkan sebuah pasukan bola sepak baharu yang diberi nama Darul Aman FC. 

Menurut Azizul, Darul Aman FC yang akan berpangkalan di negeri ini cadangan penubuhannya seawal-awalnya tahun depan. 

Katanya, pihaknya sudah mengadakan perbincangan awal dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung perkara itu. 

“Kami telah susun atur segala perancangan dan kedatangan saya ke sini antaranya untuk bermesyuarat bersama jawatankuasa penaja. 

“Kita akan melalui segala proses diperlukan. Apabila kita baru tubuhkan pasukan, sudah tentu kita perlu bermula dari liga bawahan tetapi selepas itu, kita akan bersaing untuk mendapatkan tempat di Liga Super,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Pasir, Mukim Naga, Kepala Batas di sini, semalam.

Mengulas lanjut Azizul berkata, pasukan itu akan memberi fokus kepada pembangunan anak jati negeri bagi menjadi pemain bola sepak berkualiti untuk negara. 

“Dalam masa sama, kita perlu bersifat terbuka untuk menerima kehadiran orang luar bagi memperkasakan pasukan. Saya berniaga di negeri ini dan akan memastikan apa yang dilakukan ini mendatangkan kebaikan kepada rakyat Kedah,” katanya. 

Sebelum ini, KDA FC memutuskan untuk tidak menjual 100 peratus kepentingan kepada anak syarikat Kumpulan DSAT, Mahsuri Medical Centre malah tiada sebarang perbincangan lanjut akan dibuat antara kedua-dua pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN