HIDUP tanpa media sosial? Sudah tentu bagi kebanyakan daripada kita, hal ini dirasakan tidak mudah. Ibaratkan tidur tak lena, mandi tak basah jadinya.
Media sosial bukan sahaja dianggap begitu penting oleh generasi yang lebih muda tetapi ia juga seakan-akan menjadi hal yang diperlukan oleh mereka yang selama ini hidup bahagia sebelum adanya media sosial.
Lihatlah di sekeliling kita. Sambil menunggu makanan yang dipesan di restoran, si ayah sibuk melayari media sosial, begitu juga dengan si ibu, mata terpahat di skrin telefon. Anak remaja juga sibuk berkongsi suasana sekeliling bersama teman-teman di media sosial. Malah, anak-anak kecil yang belum pandai bercakap pun sudah disuap kandungan media sosial supaya mereka leka dan tidak bosan tatkala ayah dan ibu sibuk dalam dunia masing-masing.
Keadaan seperti ini berlaku di mana-mana sahaja, termasuk di rumah atau ketika pulang ke kampung halaman. Pendek kata, asal sahaja ada capaian internet, ada yang tidak sabar menjenguk platform telefon. Hanya jasad yang berada di situ tetapi minda mereka berada jauh di awan-gemawan melayari alam maya. Ada yang merasakan itulah kehidupan mereka. Seolah-olah terkeliru di antara hakikat dalam dunia sebenar dan khayalan dalam dunia maya.
TikTok ialah antara platform yang amat diminati di negara kita tanpa mengira usia dan jantina. Ramai juga yang suka membuat kandungan, namun tidak kurang juga yang hanya memilih untuk menjadi pengguna setia. Maka lahirlah pempengaruh TikTok yang saling bersaing dalam menyediakan kandungan bagi merebut hati warga maya supaya mengikuti mereka.
Begitu juga dengan platform media sosial lain seperti Instagram, X, Snapchat dan sebagainya. Masing-masing mempunyai fungsi dan tarikan tersendiri, justeru warga maya mempunyai banyak pilihan. Hanya tepuk dada tanya selera. Justeru, ada di antara kita yang aktif di beberapa laman media sosial.
Hari ini media sosial menjadi begitu penting sehinggakan jabatan kerajaan, pemimpin politik, pendakwah dan guru-guru turut menggunakan saluran ini untuk menyebarkan maklumat serta berkomunikasi dengan masyarakat. Ia juga menjadi platform jual beli yang membantu peniaga meraih pendapatan tanpa perlu membuka kedai secara fizikal. Namun, pada masa yang sama ia turut mendedahkan penggunaannya kepada pelbagai jenis penipuan.
Di negara kita, ramai kanak-kanak bebas menerokai dunia maya pada usia yang muda tanpa kawalan dan pengawasan ketat oleh ibu bapa. Malah, terdapat juga ibu bapa yang menggunakan media sosial sebagai alat untuk melekakan anak-anak agar mereka tidak bosan atau menuntut perhatian.
Tidak dapat dinafikan bahawa kelajuan dan kaedah penyampaian kandungan TikTok begitu menarik bagi kanak-kanak. Ia singkat dan tidak memerlukan tumpuan panjang. Malah, kajian mendapati bahawa kanak-kanak hari ini lebih tertarik kepada kisah ringkas, pendek, dengan peralihan pantas. Maka, inilah yang disediakan oleh industri supaya apa segala yang dikeluarkan berjaya mendapat pulangan besar tanpa memikirkan kesan buruknya kepada daya tumpuan kanak-kanak.
Industri media sosial ialah perniagaan besar yang menguntungkan. Justeru, saingan di antara pemainnya sudah pasti hebat. Ada yang melakukan apa-apa sahaja untuk menjana keuntungan yang lebih besar. Sepatutnya, kita sebagai pengguna mestilah memilih dengan bijak dan bukannya terjebak dalam mentaliti kelompok tanpa berfikir baik buruknya.
Justeru, jika mereka yang sepatutnya matang berfikir turut terpengaruh, bayangkan kesannya ke atas para remaja dan kanak-kanak yang dikatakan masih mentah dan pendek akalnya.
Kesan penggunaan media sosial ke atas kanak-kanak dan remaja telah lama diperbahaskan, baik dalam kalangan orang awam mahupun oleh pakar-pakar yang telah membuat kajian secara terperinci.
Seperti biasa, dalam kalangan orang ramai termasuk ibu bapa, ada yang menyokong, menentang dan ada juga yang langsung tidak ambil peduli.

UNDANG-UNDANG LINDUNGI KANAK-KANAK
Baru-baru ini Australia mengejutkan dunia apabila pembuat dasar negara tersebut meluluskan undang-undang yang melarang kanak-kanak di bawah usia 16 tahun daripada menggunakan media sosial. Malah, tiada pengecualian diberikan untuk kebenaran oleh ibu bapa dalam undang-undang ini yang bakal berkuat kuasa pada penghujung tahun depan.
Inilah undang-undang berkaitan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak yang terketat di dunia berbanding undang-undang lain seperti Akta Keselamatan Dalam Talian 2023 di United Kingdom (UK) dan Akta Keselamatan Dalam Talian Kanak-kanak (KOSA) yang sedang dicadangkan di Amerika Syarikat (AS).
Menurut undang-undang ini, platform media sosial seperti Instagram, TikTok, X dan sebagainya perlu menghalang pengguna yang berumur di bawah 16 tahun daripada mempunyai akaun di platform mereka. Tujuannya adalah untuk melindungi kanak-kanak dan remaja khasnya daripada masalah mental akibat penggunaan media sosial.
Banyak kajian mendapati penggunaan media sosial secara keterlaluan mengurangkan rasa empati sesama insan yang mana boleh membunuh rasa kemanusiaan, kasih sayang, belas kasihan dan segala sifat-sifat mulia seorang insan.
Platform media sosial menggalakkan para remaja membandingkan diri mereka dengan orang lain, mengimpikan sesuatu di luar jangkauan, mendedahkan mereka kepada pemangsa serta eksploitasi komersial.
Akibatnya, ketagihan media sosial membawa kepada rasa tidak puas hati, ketidakyakinan pada diri serta kekosongan jiwa. Kita terlalu sibuk mengejar khayalan dan mimpi sehingga gagal menghargai kehidupan di alam nyata.
Media sosial juga menjauhkan kita daripada buku yang merupakan sumber ilmu. Oleh itu, ia juga antara sebab ramai pelajar gagal belajar dengan baik.
Menyedari hal ini, bersediakah kita bertindak seperti kerajaan Australia demi menyelamatkan kanak-kanak dan remaja daripada bahaya media sosial? Adakah hal ini akan dijadikan modal politik oleh pihak-pihak tertentu?
Akankah ia menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat seperti isu pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3)? Atau akankah ia dianggap sebagai tindakan yang mencabuli hak asasi manusia? Tepuk dada tanya selera.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










