GEORGE TOWN : Meskipun bermula dengan langkah kiri selepas tewas 0-1 kepada Kuching City FC dalam aksi pertama pusingan kedua Piala Malaysia semalam, pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail tetap optimis dengan kemampuan anak-anak buahnya ketika ini.
Sedar tugas berat menanti mereka dalam aksi timbal balik kedua di Sarawak, hujung bulan ini, Wan Rohaimi bagaimanapun tetap percaya bahawa skuad Harimau Kumbang mampu melakar kejutan ketika bertandang ke sana nanti.
“Secara keseluruhannya, saya puji persembahan anak-anak buah saya terutamanya pada separuh masa kedua perlawanan (ketika tewas 0-1 kepada Kuching City).
“Kita cipta peluang tapi penyudah tidak menjadi. Apa pun, saya tetap berpuas hati dari segi komitmen, permainan dan sebagainya.
“Bagi saya, peluang Penang FC masih terbuka walaupun kita akan bermain ‘away’ (di tempat lawan) nanti,” katanya yang baru sahaja mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Penang FC daripada Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Dalam perlawanan itu, jaringan tunggal oleh Ramadhan Saifullah pada minit ke-42 berjaya menghukum kelalaian benteng tuan rumah sekaligus ‘menghadiahkan’ kekalahan kelima berturut-turut buat Harimau Kumbang termasuk empat kekalahan dalam saingan Liga Super sebelum ini.
Tambah bekas tonggak skuad kebangsaan itu, dia bagaimanapun masih mempunyai tempoh kira-kira satu minggu untuk memperbaiki persembahan anak-anak buahnya sebelum berkunjung ke arena lawan selepas ini.
Dalam pada itu, ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak turut memuji persembahan anak-anak buahnya walaupun beraksi dalam keadaan padang becak serta hujan yang turun hampir sepanjang 90 minit perlawanan.
Kata pengendali kelahiran Singapura itu, meskipun memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri selepas ini, namun, dia sentiasa mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu selesa dengan kelebihan tersebut.
“Apa pun, saya rasa objektif kita apabila datang ke sini (Pulau Pinang) telah tercapai iaitu kita tidak kalah. Itu yang paling penting,” kata bekas ketua jurulatih Kedah itu. – UTUSAN










