Tiga wartawan Utusan Malaysia antara terima ijazah - Utusan Malaysia

Tiga wartawan Utusan Malaysia antara terima ijazah

Muhammad Aiman Ali dan Nurul Irdina Sumali menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi Massa Kewartawanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiga wartawan Utusan Malaysia antara yang menerima Ijazah Sarjana Muda pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-100, semalam.

Muhammad Aiman Ali dan Nurul Irdina Sumali masing-masing menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi Massa Kewartawanan manakala Yasmin Natasha Hairul dalam bidang Komunikasi Massa Penyiaran.

Aiman Ali memperoleh Kelas Pertama berkata, pencapaian akademiknya itu sebagai kenangan terindah dalam menimba ilmu kerana perlu mengharungi fasa menjadi pelajar hibrid semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pasca Covid-19.

“Menamatkan pengajian ijazah ketika PKP dan pasca Covid-19 bukan mudah kerana berhadapan dengan kekangan pergerakan dan liputan internet di rumah sebelum dibenarkan kembali ke universiti.

“Kejayaan akademik saya ini adalah berkat doa ibu bapa kerana tidak putus mendoakan dan nasihat serta bimbingan sepanjang pengajian,” katanya selepas majlis konvokesyen itu. Ijazah disampaikan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Datuk Seri Zarinah Anwar.

Sementara itu, Nurul Irdina berkata, kejayaan diperoleh itu hasil keringat ibu bapanya dalam menyediakan kelengkapan pengajian dalam era Co­vid-19.

“Banyak kekangan dan ca­baran dilalui antaranya tidak dapat bertemu dengan rakan sekumpulan menyiapkan tugasan.

“Saya berterima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang sentiasa memberikan yang terbaik dan menyediakan semua keper­luan pembelajaran sehingga berjaya dan kejayaan ini untuk mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Yasmin Natasha, berkata, pengorbanan ibu bapanya yang perlu menampung empat orang anak untuk menyambung pengajian adalah titik tolak kejayaannya mengenggam ijazah dan itulah hadiah dalam membalas semula jasa dan pengorbanan keluarga yang dicintainya itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN