Hujan batu tukar jalan raya jadi ‘sungai ais'

Hujan batu tukar jalan raya jadi ‘sungai ais’

TANGKAP layar video yang dikongsi di media sosial memaparkan jalan raya ditenggelami air dan ais di Idaho.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOISE: Ribut kencang yang melanda beberapa wilayah di Idaho pada hujung minggu pertama musim panas mencetus fenomena luar biasa apabila jalan raya dilitupi hujan batu sebelum ditenggelami banjir ais.

Menurut laporan NYPost, hujan lebat, angin kencang dan ratusan panahan petir dilaporkan menjejaskan beberapa kawasan di seluruh negeri serta menjadikan keadaan jalan raya sangat berbahaya.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, beberapa kawasan jalan raya kelihatan seolah-olah dilitupi lapisan ais tebal susulan kejadian ribut petir dan hujan batu yang berlaku secara mendadak.

Ketua Pakar Meteorologi di Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) Boise, Josh Smith menjelaskan saiz hujan batu yang turun adalah kecil, namun kuantitinya amat luar biasa.

Memetik laporan akhbar Idaho Statesman, kemusnahan skala besar di wilayah Treasure Valley yang merangkumi sebahagian daerah Ada dan Canyon menjadi lebih buruk ekoran tiupan angin kencang yang mencecah kelajuan melebihi 80 kilometer (km) sejam.

Smith menambah, kakitangan NWS di barat laut Meridian turut melaporkan kejadian hujan batu kecil setebal beberapa sentimeter (sm) di atas permukaan tanah.

“Timbunan ais ini dipercayai menyumbang kepada kejadian banjir di beberapa kawasan perumahan kerana ia mencair dengan pantas. Sistem saliran didapati gagal menampung limpahan air tersebut, yang diburukkan lagi dengan taburan hujan melebihi 2.54 sm,” kata Smith.

Selain hujan batu, aktiviti petir turut dilaporkan berada pada tahap yang sangat ekstrem. Daerah Owyhee yang terletak kira-kira 241 km ke selatan Boise berhampiran sempadan Nevada, merekodkan sebanyak 553 panahan petir.

Sementara itu, Daerah Ada mencatatkan 100 panahan petir dalam tempoh sehari. Menurut data NWS, jumlah tersebut merupakan angka kedua tertinggi pernah direkodkan dalam satu hari bagi bulan Jun sejak tahun 2000.

Susulan impak ribut yang teruk, pihak berkuasa di Daerah Canyon bertindak mengisytiharkan darurat bencana di peringkat daerah bagi membolehkan pasukan penyelamat digerakkan untuk mengendalikan kerosakan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN