KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan dana bagi membiayai projek sistem Autonomous Rapid Transit (E-ART) di Wilayah Iskandar Malaysia selepas mendapati projek infrastruktur mega itu tidak berdaya maju jika bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan pihak swasta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, meskipun projek berkenaan pada peringkat awal dibiayai oleh konsortium yang dilantik menerusi model Kerjasama Awam Swasta (PPP), penilaian semasa menunjukkan campur tangan kerajaan diperlukan bagi memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan.
“Pada masa ini, kaedah pembiayaan terperinci dan jumlah komitmen kewangan sebenar dan mekanisme pembayaran balik dalam tempoh konsesi adalah di peringkat rundingan dan sedang dimuktamadkan.
“Terma-terma dipersetujui kelak akan diangkat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum Perjanjian Konsesi ditandatangani. Projek E-ART ini dijangka akan disiapkan dalam tempoh empat tahun dari Surat Setuju Terima dikeluarkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta menteri menjelaskan status pelaksanaan projek eART Johor sama ada tanggungan Persekutuan atau menerusi model konsesi bersama pihak swasta.
Sebelum ini, projek yang dianggarkan bernilai RM10 bilion itu mendapat kelulusan Jemaah Menteri bulan lalu.
E-ART dijangka melengkapkan perkhidmatan Rapid Transit System (RTS) Link antara Johor Bahru dan Singapura sebagai penyelesaian kepada peningkatan aliran trafik susulan pembangunan pesat di negeri itu.
Mengulas lanjut, Loke berkata, berdasarkan penilaian yang dibuat, Surat Niat (LOI) dikeluarkan 5 Mei lalu kepada konsortium yang dianggotai DOM Industries (M) Sdn. Bhd., MMC Engineering Sdn. Bhd., BTS Group Holdings Public Company Limited dari Bangkok serta Nylex (Malaysia) Berhad.
Katanya, Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Kerajaan Negeri telah merangka pelan penyuraian trafik untuk pengukuhan sistem pengangkutan awam sedia ada.
“Antaranya Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) dimana melalui SBST 2.0, rangkaian perkhidmatan BAS.MY akan diperluaskan kepada 28 laluan melibatkan 254 unit bas (termasuk bas elektrik/EV), di mana 157 unit bas dikhususkan untuk laluan JB Sentral/Bukit Chagar.
“Fasa ini dijangka dapat dimulakan pada awal tahun 2027. Disamping itu, perkhidmatan RTS Shuttle iaitu perkhidmatan bas jarak pendek berfrekuensi tinggi akan turut diperkenalkan untuk menghubungkan JB Sentral/Bukit Chagar dengan lokasi-lokasi sekitar,” katanya.
Selain itu adalah Perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) bagi memperkenalkan dan mempertingkatkan sistem pengangkutan responsif permintaan bagi menyediakan akses batuan pertama dan terakhir (first-mile and last-mile) yang lebih dinamik dan fleksibel untuk menyuraikan penumpang dari stesen utama. – UTUSAN










