PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan sembilan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) yang masih belum membuka akaun bank khas perlu berbuat demikian jika mahu menerima dana daripada kerajaan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata daripada 19 PSK yang telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membuka akaun bank khas bagi menerima dana daripada kerajaan hanya 10 melakukannya.
Hannah berkata pembaharuan tersebut dilakukan bagi menambah baik pengurusan dana daripada kerajaan kepada persatuan supaya tidak lagi bergantung kepada konsep pembayaran semula.
“Saya tidak tahu kenapa sembilan lagi persatuan tidak boleh (buka akaun khas) kerana tugas persatuan adalah untuk membantu atlet dan sekarang kerajaan nak salurkan dana untuk menolong atlet. Saya tak faham kenapa kerana ia sangat asas.
“Takkan tanggungjawab asas persatuan untuk membuka akaun tidak boleh buat? Semua pembaharuan ini untuk memudahkan persatuan dan bukannya menyusahkan mereka.
“Sebelum ini kebiasaannya apabila MSN mahu memberi dana kepada atlet elit untuk bertanding di luar negara ia melalui proses bayar dan tuntut namun sekarang kita mahu memudahkan persatuan,” kata Hannah ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Taekwando Antara Kelab 2024 di Stadium Titiwangsa, semalam.
Terdahulu, KBS memperkenalkan semula kaedah pemerkasaan kepada PSK bagi mengurus dan meningkatkan tadbir urus peruntukan kewangan yang diterima mereka.
Menerusi program peruntukan akan disalurkan kepada PSK setiap empat bulan sekali bagi perbelanjaan merangkumi pengurusan atlet dan jurulatih, pengurusan prestasi, program pembangunan dan perkhidmatan sokongan.
Fasa pertama program itu membabitkan 19 PSK dan 23 jenis sukan bagi menyokong program Podium dan pelapis kebangsaan sepanjang tahun 2024. – UTUSAN










