Tentera turut gerakkan anggota bantu mangsa banjir - Utusan Malaysia

Tentera turut gerakkan anggota bantu mangsa banjir

ANGGOTA Batalion Ke-18 RAMD membantu mangsa banjir berpindah dalam Ops Murni di Kampung Tengkawang, Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menggerakkan anggotanya ke kawasan banjir di negeri ini bagi membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-18, Rejimen Askar Melayu Diraja (Para), Kem Seri Pantai Kuala Nerus dekat sini, Leftenan Kolonel Mohd. Ashafiq Abd. Aziz berkata, tiga pegawai dan 35 anggotanya digerakkan ke kawasan tanggungjawab di Hulu Terengganu.

Sementara itu lima sekeluarga di Kampung Kepah, dekat sini lega apabila anggota tentera membantu mereka berpindah semalam.

Noor Hidayu Muhammad, 43, berkata, ketika itu dia sedang bersiap untuk ke PPS setelah rumahnya digenangi banjir sedalam 1.5 meter.

“Saya dan suami, Che Wan Samsuri Che Wan Non, 46, yang menghidap penyakit jantung pada mulanya ingin meredah air sejauh hampir 100 meter ke jalan untuk meninjau situasi bagi pastikan keadaan selamat.

“Namun air yang mulai naik sekitar pukul 3.30 pagi, menyebabkan kami dengan tiga anak berusia 9 hingga 14 tahun membuat keputusan berpindah awal ke PPS.

“Biasanya saya akan meletakkan anak yang kecil dalam tangki dan menolaknya ke arah jalan, manakala suami pula akan pimpin anak-anak yang lain apabila kami berpindah.

“Risau juga kerana air agak laju. Hari ini kami sekeluarga bernasib baik sekali gus lega apabila ada tentera bantu walaupun agak terkejut ramai tentera,” katanya ketika ditemui di Kampung Kepah, dekat sini, semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN